Anda di sini

Semangat juang Limam, Mailam kental walaupun dimamah usia

Advertisement
 Limam menunjukkan gambar peribadi yang dirakam dengan berlatarbelakangkan berek kediaman Pasukan Pengakap Sabah (PPS). — Gambar Bernama
KENANGAN: Limam menunjukkan gambar peribadi yang dirakam dengan berlatarbelakangkan berek kediaman Pasukan Pengakap Sabah (PPS). — Gambar Bernama

KENINGAU: Meskipun kian dimamah usia, namun semangat juang yang kental untuk mempertahankan kemerdekaan dan keamanan negara masih tertanam kukuh dalam jiwa Lans Koperal Limam Angkalal, 72, dan Sarjan Mailam Tumubul, 74.

Limam dan Mailam, langsung tidak mengizinkan perjuangan mereka mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara pada zaman konfrontasi pada tahun 1960-an disia-siakan oleh mana-mana pihak sebaliknya memuji kepimpinan negara dan mahukan mereka terus cekal mempertahankan kedaulatan negara ini.

Sampaikan salam saya kepada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein). Katakan kepadanya kami baik-baik sahaja di Keningau. Saya cuma lumpuh sebelah badan sementara sahabat seperjuangan yang lain satu persatu kembali ke pangkuan Tuhan,” kata Limam kepada Bernama.

Limam yang kini lumpuh sejak lima tahun lepas menyertai Pasukan Pengakap Sempadan (PPS) atau Border Scout pada 1 Mei 1965 ketika berusia 20 tahun, iaitu kira-kira setahun sebelum konfrontasi dengan negara jiran tamat sepenuhnya.

Beliau adalah antara ratusan anggota keselamatan di barisan hadapan yang menggalas senjata untuk memastikan maruah negara Malaysia ketika itu dapat dipertahankan.

Baginya, penyertaannya dalam anggota keselamatan ketika itu bukan mengharapkan gaji semata-mata sebaliknya lebih kepada semangat yang berkobar-kobar menyahut seruan negara.

Ketika menyertai PPS, Limam ditugaskan sebagai peninjau dengan kerja-kerja rutinnya ialah melakukan pengintipan lokasi dan kekuatan musuh di pesisir sempadan Kalimantan – Sabah iaitu sepanjang Sungai Sibudal, Bantul dan Seliliran.

Menurutnya segala maklumat yang diperoleh akan dihantar melalui komunikasi ‘kod Morse’ ke pangkalan yang terletak di Kampung Agisom.

Walaupun tidak pernah terlibat dalam sebarang pertempuran dengan musuh, namun kata Limam, tugasnya sebagai perisik sebenarnya adalah sama penting dengan anggota gempur lain.

Katanya beliau amat bertuah kerana pengalamannya selama 36 tahun berkhidmat di pelbagai unit dalam pasukan keselamatan mungkin tidak pernah lagi dilalui oleh kebanyakan anggota keselamatan era selepas konfrontasi.

Bagi Mailam pula, tugas dan tanggungjawab anggota keselamatan pada era tahun 60-an sangat mencabar dan hanya mampu digalas oleh anggota yang benar-benar berjiwa besar serta bersemangat cintakan negara.

Beliau yang menyertai anggota keselamatan ketika itu didorong oleh semangat tinggi untuk berjuang mempertahankan kedaulatan negara yang baharu sahaja beberapa tahun mencapai kemerdekaan.

Saya ditugaskan di unit komunikasi. Setiap kali operasi perisikan dijalankan, saya akan membawa peralatan termasuk set radio jenis HP-156 seberat 40 kilogram yang kini tidak lagi digunakan pada era digital seperti hari ini,” katanya.

Limam dan Mailam kedua-duanya memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mereka sifatkan sebagai pemimpin berjiwa kental dan sentiasa tenang ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya untuk memastikan kemerdekaan negara Malaysia terus dipertahankan.

Harapan kami ialah rakyat di negara ini memiliki semangat kental sebagaimana yang dimiliki oleh  perdana menteri kerana semangat seperti inilah yang ada pada kami ketika berjuang pada era konfrontasi,” katanya.

 Limam mengabadikan gambar bersama isterinya Bonong Mantai (kanan) serta cucunya Jeleson Janor di beranda bekas berek Pasukan Pengakap Sabah (PPS), yang kini dikenali sebagai Berek Pasukan Polis Hutan (PPH) atau PPH Kem di Keningau yang dijadikan pesara tentera itu untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga. — Gambar Bernama
SEMANGAT KENTAL: Limam mengabadikan gambar bersama isterinya Bonong Mantai (kanan) serta cucunya Jeleson Janor di beranda bekas berek Pasukan Pengakap Sabah (PPS), yang kini dikenali sebagai Berek Pasukan Polis Hutan (PPH) atau PPH Kem di Keningau yang dijadikan pesara tentera itu untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga. — Gambar Bernama
Advertisement