Anda di sini

Jangan malu ketengah, kongsi bakat dengan umum: Isa Lee

Advertisement
 Isa (berdiri, dua kanan) bersama para pemenang Dirzaidi (depan tengah), Roxanne (depan kanan) dan Salmiah (depan kiri). Turut kelihatan Diana (berdiri kiri) dan Sakura (berdiri kanan).
KONGSI BAKAT: Isa (berdiri, dua kanan) bersama para pemenang Dirzaidi (depan tengah), Roxanne (depan kanan) dan Salmiah (depan kiri). Turut kelihatan Diana (berdiri kiri) dan Sakura (berdiri kanan).

KUCHING: Industri hiburan tempatan diwarnai dengan kemunculan ramai bakat-bakat baru yang dicungkil menerusi pelbagai platform selain pertandingan nyanyian.

Komposer Dayak, Isa Lee berkata antara platform yang semakin popular untuk pendatang baru mengetengahkan bakat mereka adalah menerusi YouTube.

YouTube katanya semakin popular dalam kalangan masyarakat hari ini untuk mereka mengetengahkan dan berkongsi bakat mereka kepada umum.

Jika bertuah, ada antara mereka yang dilamar syarikat rakaman, komposer atau pemuzik untuk menjadi artis rakaman di bawah syarikat rakaman mereka.

Kadang-kadang kita tidak tahu bahawa kita memiliki bakat terpendam yang berpotensi untuk dimajukan kerana malu atau tidak mempunyai keyakinan untuk beraksi di atas pentas.

Jadi, jangan pandang rendah dengan diri sendiri dan harus berani untuk mengetengahkan bakat anda sama ada mengikuti pertandingan nyanyian atau lain-lain platform seperti Busking dan Smule,” kata Isa ketika ditemui pada satu pertandingan nyanyian baru-baru ini.

Pertandingan nyanyian tersebut merupakan anjuran S & S Cafeteria sempena dengan ulang tahun kedua pembukaannya.

Antara objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk mempromosikan keharmonian kaum di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Seramai 46 peserta dari pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan Dayak menyertai pertandingan ini yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai bernilai RM1,500.

Peserta dalam itu masing-masing diberi pilihan untuk menyanyikan lagu pilihan masing-masing sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris, Iban atau Bidayuh.

Tiga juri berpengalaman iaitu penyanyi dari Ranyai Studio, Sakura Diana Dawi, juruhebah radio Cats.FM, Diana Anne Sylvester dan Isa sendiri dijemput bagi menghakimi pertandingan tersebut.

Pertandingan tersebut dimenangi oleh Dirzaidi dan membawa pulang hadiah bernilai RM500 beserta trofi manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Roxanne Lee dan Salmiah Nawi.

  • oleh
  • Advertisement