Anda di sini

Chong, Julian dibebas dan dilepaskan dari tuduhan sertai demonstrasi jalanan

Advertisement

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Stampin Julian Tan dibebaskan dan dilepaskan dari pertuduhan melakukan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2014 di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Mereka sebelum ini didakwa menyertai demonstrasi jalanan dua tahun lalu semasa perhimpunan BERSIH 4 dari hadapan Hotel Hilton Kuching di Jalan Borneo hingga ke Padang Song Kheng Hai, Padungan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Steve Ritikos selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes terhadap kedua-dua tertuduh.

Dalam menyampaikan keputusan itu, beliau memberitahu tiada demonstrasi jalanan berlaku sepanjang perhimpunan yang diadakan pada 29 Ogos 2015 yang dikatakan kedua-dua tertuduh terlibat semasa BERSIH 4 dijalankan.

Sebelum ini, Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak bersama Julian didakwa di bawah Seksyen 49(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2014.

Peguambela kedua-dua tertuduh, Gobind Sing Deo berkata, keputusan itu amat penting bagi menerangkan maksud dengan jelas tentang demonstrasi jalanan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Justeru, beliau menggesa pihak pendakwaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan kes tersebut.

Antar barisan peguam bela yang turut mewakili kedua-dua tertuduh Roger Chin, Tan Kee Heng dan Chong Siew Chiang.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya Kamal Bahrin Omar dan dibantu Hayda Faridzal Abu dan Haresh Prakash Somiah.

Sepanjang perbicaraan kes itu, sebanyak tujuh saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada mahkamah.

Jika sabit kesalahan, Chong dan Julian boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 dan diharamkan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun sekiranya mereka didenda melebihi RM2,000.

Pada masa sama mahkamah menetapkan 14 hari untuk pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut jika mahu mengemukakan rayuan.

Advertisement