Anda di sini

Antara paling tragik

Advertisement

23 terkorban dalam kebakaran menyayat hati asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di KL.

 Keadaan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selepas kebakaran itu. — Gambar Bernama
KEBAKARAN BESAR: Keadaan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selepas kebakaran itu. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kebakaran bangunan asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara pagi semalam adalah antara kebakaran terbesar melibatkan kematian yang tinggi di negara ini, seramai 23 orang.

Dalam kejadian hampir waktu Subuh itu, 21 pelajar lelaki berumur 13 hingga 17 tahun dan dua guru yang juga warden asrama maut, manakala tujuh lagi menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur berikutan kebakaran itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memandang serius kes itu dan sehingga kini sebanyak 31 kes kebakaran melibatkan pusat tahfiz dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak 2011.

Ahmad Zahid mahu satu jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi menyiasat insiden kebakaran tersebut yang penting bagi mengelak kejadian sama berulang.

Kita perlu segera tubuhkan jawatankuasa ini. Kita tidak perlu menunggu sehingga mesyuarat Kabinet pada Rabu depan untuk membincangkannya.

Adalah penting untuk pihak yang terlibat, mana-mana kementerian untuk duduk berbincang,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang terselamat dalam insiden itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada sidang akhbar semalam berkata kementeriannya tidak menolak kemungkinan mewujudkan jawatankuasa khas dan akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri percaya, jawatankuasa itu mampu membuat keputusan dan tindakan yang penting berkaitan siasatan insiden tersebut.

Beliau turut menawarkan diri untuk mengetuai jawatankuasa khas itu sambil menghulurkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Sementara itu, siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati kebakaran di pusat tahfiz tersebut bukan berpunca daripada litar pintas, kata Pengarahnya Khirudin Drahman.

Beliau berkata, hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu adalah di dalam keadaan baik.

Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan ‘tendang’ dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.

Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian semalam.

Khirudin berkata, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar. Saksi beritahu mereka berusaha nak keluar tetapi api dah marak di luar pintu, sebab itu mereka terperangkap,” katanya.

Berdasarkan rekod Bernama, kebakaran terbesar membabitkan warga pusat tahfiz yang mendapat liputan meluas berlaku pada 22 September 1989 yang menyaksikan lapan asrama Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Yan, Kedah hangus terbakar.

Dalam kebakaran itu, seramai 27 pelajar sekolah terkorban dalam keadaan yang sungguh tragis dan jenazah mereka dikebumikan di tanah perkuburan khas “27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya” di Padang Lumat, Yan. — Bernama

 Anggota bomba mengusung jenazah mangsa kebakaran. — Gambar Bernama
MEMILUKAN: Anggota bomba mengusung jenazah mangsa kebakaran. — Gambar Bernama
Advertisement