Anda di sini

Anjung Payung Merdeka di SMK Putatan lambang keharmonian masyarakat majmuk

Advertisement
 Abal Mukam (lima kiri) dan Ag Roslan (enam kiri) bersama Pengerusi Permuafakatan Komuniti 1Malaysia Negeri Sabah Tahir Mohd Soon (tujuh kiri) semasa Majlis Pelancaran Anjung Payung Merdeka SMK Putatan.
WARNA-WARNI MALAYSIA: Abal Mukam (lima kiri) dan Ag Roslan (enam kiri) bersama Pengerusi Permuafakatan Komuniti 1Malaysia Negeri Sabah Tahir Mohd Soon (tujuh kiri) semasa Majlis Pelancaran Anjung Payung Merdeka SMK Putatan.

PUTATAN: Ingin tampil dengan kelainan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar membawa kepada tercetusnya idea melaksanakan projek ‘Anjung Payung Merdeka’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan.

Penasihat Projek merangkap Guru Seni Visual Pusat PraUniversiti Mod 2 (PUSTEM2) Abal Mukam Mislin berkata payung adalah simbolik kepada perlindungan dan lambang kedamaian. Ia sama seperti peranan rakyat dalam melindungi dan memastikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Ia juga melambangkan ‘Colours of Malaysia’ yang memperlihatkan pelbagai budaya dan adat resam yang mampu hidup bersatu padu serta saling melindungi antara satu sama lain ketika berdepan ancaman keselamatan.

Projek Anjung Payung Merdeka itu, katanya, dilaksana pada 10 Ogos lalu dan mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Sebanyak 300 payung digunakan untuk menyiapkan anjung berkenaan.

Payung yang pelbagai warna itu melambangkan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan hidup dengan harmoni dengan semangat 1Malaysia.

Katanya payung-payung itu akan dibuka semula selepas 16 September dan dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

Menariknya tentang projek ini, pelajar dan guru-guru menyumbang payung mereka untuk diletakkan di anjung berkenaan.

Kesungguhan yang ditunjukkan pelajar ini memperlihatkan betapa bersemangatnya mereka menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Merdeka @Komuniti Daerah Putatan anjuran Jabatan Penerangan Daerah Putatan, di sini pada Rabu.

Di samping bersemangat meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, pelajar juga menunjukkan semangat yang berkobar-kobar untuk menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan meletakkan sasaran STPM mereka di payung yang ditempatkan di Anjung Payung Merdeka itu.

Projek itu turut dijayakan dengan kerjasama pelajar PUSTEM2 dan Guru Seni Visual Ag Roslan Pg Yusoff.

Selain Anjung Payung Merdeka, turut diadakan adalah pameran lukisan yang memperlihatkan 25 lukisan karya pelajar seni visual PUSTEM2 dan grafiti yang bertemakan Hari Malaysia yang disiapkan oleh lima pelajar PUSTEM2.

Advertisement