Anda di sini

Tiga angkasawan laksanakan misi lima bulan di ISS

Advertisement
 Kapal angkasa lepas Soyuz MS-06 membawa angkasawan AS dan Rusia dilancarkan dari pad pelancaran ke ISS awal semalam. Gambar sisipan menunjukkan (dari kiri) Acaba, Misurkin dan Vande Hei berjalan keluar dari hotel untuk persiapan prapelancaran di Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan kelmarin. — Gambar AFP/Reuters
BERLEPAS: Kapal angkasa lepas Soyuz MS-06 membawa angkasawan AS dan Rusia dilancarkan dari pad pelancaran ke ISS awal semalam. Gambar sisipan menunjukkan (dari kiri) Acaba, Misurkin dan Vande Hei berjalan keluar dari hotel untuk persiapan prapelancaran di Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan kelmarin. — Gambar AFP/Reuters

BAIKONUR: Dua angkasawan Amerika Syarikat (AS)  dan seorang kosmonaut Russia berlabuh di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk misi selama lima bulan semalam selepas pelancaran waktu malam dari kosmodrom Baikonur di Kazakhstan.

Agensi angkasa Roscosmos di Russia berkata pesawat angkasa Soyuz MS-06 “berjaya berlabuh” di ISS pada 0255 GMT dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

Roket Soyuz itu yang membawa Alexander Misurkin dari Roscosmos, penerbang kali pertama NASA Mark Vande Hei dan rakan sekerjanya yang veteran Joe Acaba berlepas mengikut jadual dari Baikonur pada jam 3.17 pagi (waktu tempatan).

Tiga angkasawan itu kini akan menyertai Paolo Nespoli dari Itali, Sergey Riazanski dari Russia dan Randy Bresnik dari AS di atas makmal orbit itu.

Pelancaran itu menandakan kali pertama dua angkasawan AS sama-sama berlepas untuk misi ke ISS dari Baikonur, Russia, sejak Jun 2010.

Agensi angkasa Amerika menghentikan pelancarannya sendiri yang dikawal oleh manusia ke ISS pada 2011 tetapi baru-baru ini mengambil langkah untuk meningkatkan kru di ISS manakala pihak Russia mengurangkan kru mereka dalam langkah menjimatkan kos yang diumumkan pada tahun lepas.

Acaba, 50, sudah meluangkan masa hampir 138 hari di angkasa dalam dua misi, manakala Vande Hei, 50, berkhidmat dengan tentera AS di Iraq sebelum menjalani latihan sebagai angkasawan.

Misurkin, 39, yang memulakan misi keduanya di atas ISS, juga mempunyai latar belakang ketenteraan.

Bercakap di sidang akhbar sebelum pelancaran pada Isnin lepas, Acaba, yang berketurunan Puerto Rico, berkata dia akan membawa beberapa ‘musik Latin’ ke makmal berkenaan untuk menaikkan semangat kru lain.

Saya dapat memberi jaminan kepada rakan kru saya bahawa mereka tidak akan tertidur sewaktu muzik itu dan jika anda mahu menari pada kira-kira jam 3.00 pagi di dalam kapsul Soyuz kami, saya rasa anda akan seronok dengannya,” katanya kepada wartawan.

Pelancaran itu dibayangi taufan berbahaya yang telah membadai rantau Caribbean dan bahagian selatan AS.

Kamera luar di ISS menangkap gambar taufan Irma pada minggu lepas yang bergerak di Lautan Atlantik ketika ia bersiap sedia untuk mencetuskan huru-hara yang membawa kematian dan kemusnahan.

Pusat Angkasa Johnson NASA di Houston berkata awal bulan ini, ia mengalami kerosakan yang signifikan sewaktu Taufan Harvey, tetapi Menara Kawalan Misi masih beroperasi.

Vande Hei bernada suram dalam tweet prapelancaran pada Isnin lepas.

Tinggal dua hari. Matahari terbit di atas Baikonur, Kazakhstan. Berdoa untuk rakyat Florida selain pemulihan berterusan Pantai Teluk Texas,” katanya.

Angkasa merupakan satu daripada beberapa bidang dalam kerjasama antarabangsa antara Russia dan AS yang tidak dirosakkan oleh ketegangan berhubung konflik di Ukraine dan Syria.

ISS mengelilingi Bumi pada ketinggian kira-kira 400 kilometer, sekali setiap 90 minit pada kelajuan kira-kira 28,000 kilometer sejam untuk misi berterusan yang penting. — AFP

Advertisement