Anda di sini

RM75,160 bakal menanti para pemenang Sibu Marathon 2017

Advertisement
 Wong (tiga kiri) bersama Rogayah (empat kiri) menunjukkan baju bagi Sibu Marathon 2017.
SEDIA: Wong (tiga kiri) bersama Rogayah (empat kiri) menunjukkan baju bagi Sibu Marathon 2017.

SIBU: Hadiah wang tunai berjumlah RM75,160 menanti pemenang pada Sibu Marathon 2017 yang akan bermula di hadapan Wisma Sanyan pada 16 September ini.

 Pengerusi pengelola Kaunselor Wong Hie Ping berkata, seramai lebih 3,000 peserta telah mengesahkan penyertaan pada larian julung kali dianjurkan itu.

 “Wang tunai berjumlah RM75,160 menanti pemenang bagi 12 kategori larian yang dipertandingkan pada Sibu Marathon 2017 ini,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

 Sibu Marathon 2017 dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dengan kerjasama Kuching City Jogger’s Club (CJC).

 Larian dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu 42.195KM (maraton penuh), 21KM (separuh maraton), 10KM dan 5KM.

 Menurut Wong, maraton ini disertai oleh peserta dari Kenya, Australia, Jepun, Korea, Hong Kong, Brunei, Semenanjung Malaysia, Sabah dan juga pelari tempatan.

 Peserta, katanya, akan dilepas di hadapan Wisma Sanyan bermula jam 12.01 tengah malam, bermula dengan kategori maraton penuh (42KM).

 Ini dikuti oleh separuh maraton (21) pada jam 4 pagi, 10KM (5.30 pagi) dan 5KM (6 pagi).

 “Peserta larian akan dilepaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan merangkap Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh,” ujarnya.

 Sehubungan itu, menurut Wong, Jalan Bujang Suntong akan ditutup kepada lalu lintas pada 15 September, bermula jam 11 malam.

 Beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika melalui jalan yang menjadi laluan bagi maraton tersebut.

 Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Bujang Suntong, Jalan Pulau, Jalan Tun Abang Haji Openg, Persiaran Brooke, Jalan Pahlawan, Jalan Wawasan, Jalan Teng Chin Hua, Jalan Lanang dan Jalan Khoo Peng Loong.

 “Kesemua larian akan berakhir di Koridor Chuan di Dataran Bandar Sibu Fasa 1, diikiti dengan majlis penyampaian hadiah bermula jam 7.30 pagi,” jelasnya.

 Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPS Rogayah Jamain, Kaunselor Anna Lau, Setiausaha CJC Soon Khoon Sin serta yang lain.

Advertisement