Anda di sini

Rakyat syukuri pelantikan Sultan Kedah yang baharu

Advertisement

Pelantikan baginda yang berjiwa rakyat adalah tepat

ALOR SETAR: Pemasyhuran Sultan Kedah yang baharu, Tuanku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah kelmarin di-sambut penuh kesyukuran oleh seluruh rakyat jelata di negeri ini.

Pelbagai lapisan rakyat berbilang kaum dan agama rata-ratanya menjunjung kasih di atas pemasyhuran itu dan menyifatkan pelantikan baginda yang berjiwa rakyat dan penyayang itu sebagai tepat.

Seorang pekerja swasta, Mohd Firdaus Abu Bakar, 29, berkata beliau yakin baginda mampu meneruskan kepimpinan dan kewibawaan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebelum ini dengan lebih baik.

Beliau turut berharap agar baginda dapat mendekati rakyat jelata dengan lebih kerap selepas ini bagi me-mahami masalah dan luahan hati rakyat.

Tuanku merupakan seorang raja berjiwa rakyat seperti mana kekandanya, saya berharap agar tuanku sihat sentiasa dan mentadbir Kedah dengan adil dan saksama,” katanya. 

Setiausaha Pertubuhan Bantuan Kebajikan Masya-rakat Miskin Negeri Kedah, A Sundra Lingam, 31, berkata Tuanku Sallehuddin cukup berpengalaman dalam pentadbiran negeri khususnya ketika menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan selama Almarhum Sultan Abdul Halim bersemayam di Istana Negara.

Seorang penjawat awam, Noor Amera Mohd Nawi, 27, pula berharap agar Sultan Kedah yang baharu ini dapat memayungi negeri Kedah dengan penuh adil dan saksama selain menegakkan kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi.

Pelantikan ini sekali gus meneruskan kesinambungan kesultanan Kedah yang dipercayai antara yang tertua di dunia,” katanya.

Wartawan di sebuah akhbar berbahasa Cina, Nelson Ooi Theng Hoi, 29, pula berkata beliau sangat menga-gumi perwatakan Tuanku Sallehuddin sejak baginda menjadi Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan.

Sepanjang membuat liputan mengenai baginda sebelum ini, baginda selalu senyum dan amat mudah didekati rakyat,” katanya.

Tuanku Sallehuddin sebelum ini dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah sempena keberangkatan pulang Almarhum Tuanku Abdul Halim setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 15 Dis 2016.

Baginda menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini iaitu, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 Nov 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, akibat kegeringan.

Tuanku Sallehuddin juga pernah menyandang jawatan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Dis 2016. — Bernama

Advertisement