Anda di sini

Rakyat Selangor kesal wakil rakyat pembangkang tidak jaga kawasan

Advertisement
 Shahrizat (kiri) bersama Jamal selepas merasmikan Program Kembara Ibu Terbaik Bangsa PRU-14 (KITA-14) Bahagian Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam di Sekinchan semalam. — Gambar Bernama
BINCANG: Shahrizat (kiri) bersama Jamal selepas merasmikan Program Kembara Ibu Terbaik Bangsa PRU-14 (KITA-14) Bahagian Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam di Sekinchan semalam. — Gambar Bernama

SABAK BERNAM: Isu kebersihan, kesihatan, pembangunan, perumahan, tiada peluang pekerjaan, perniagaan serta cukai tanah dan cukai pintu yang tinggi, adalah antara yang menjadi keluhan utama rakyat Selangor sekarang khususnya di kawasan yang dimenangi oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lepas.

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata dapatan yang menyaksikan kekesalan majoriti rakyat Selangor berhubung perkara itu diperoleh hasil bancian sikap yang dijalan-kan oleh Wanita BN Selangor dan Pergerakan Wanita UMNO Selangor sejak PRU13.

Ini berbeza dengan kerajaan persekutuan dan pemimpin UMNO yang berterusan membantu rakyat di Selangor. Pembangkang ternyata hanya pandai bercakap di media sosial tetapi hakikatnya wakil rakyat mereka tidak jaga kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Kembara Ibu Terbaik Bangsa PRU-14 (KITA-14) Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pergera-kan Wanita UMNO Selangor Datin Paduka Norhayati Onn dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Keputusan PRU13 me-nyaksikan daripada kedudukan 56 kawasan DUN di Selangor, DAP memenangi 14 kerusi, Parti Keadilan Rakyat dan PAS masing-masing 13 kerusi, BN (12) dan Parti Amanah Negara serta Bebas masing-masing dua kerusi.

Sehubungan itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO yakin berdasarkan hasil bancian sikap itu, BN mempunyai peluang besar untuk merampas kembali Selangor.

Beliau dalam pada itu berkata Wanita UMNO akan mengetengahkan lebih ramai calon untuk dipertimbangkan bertanding pada PRU14 di Selangor.

Ketika ini, terdapat dua wakil Wanita UMNO di negeri berkenaan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Datuk Rosni Sohar dan ADUN Kota Damansara Datuk Halimaton Saadiah Bohan. — Bernama

Advertisement