Anda di sini

PNB berharap peningkatan dalam pemegang unit berikutan fatwa mufti

Advertisement

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) berharap untuk melihat pertambahan dalam pemegang unit daripada 13 juta ketika ini berikutan fatwa mufti Selangor dan Pulau Pinang yang menyatakan ‘harus’ atau ‘dibolehkan’ untuk orang Islam melabur dalam Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, terdapat beberapa kes di mana pemegang unit telah memohon untuk mengeluarkan pelaburan mereka kerana negeri mereka tidak mengeluarkan fatwa tersebut.

Kami telah menerima maklum balas positif daripada mufti Selangor dan Pulau Pinang dan pemegang unit kami boleh melabur dalam produk kami tanpa sebarang keraguan,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Tadbir Urus dan Jaminan Syariah PNB-Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2017 di sini, semalam.

Abdul Wahid berkata, PNB telah menerima permintaan untuk dana unit amanah patuh syariah dan pada 2008 ia telah menerima kelulusan daripada mufti lapan negeri melalui fatwa peringkat kebangsaan yang mengisytiharkan pelaburan dalam Amanah Saham Nasional Bhd diharuskan.

Menurutnya, penglibatan PNB dengan Jabatan Mufti Selangor telah menyebabkan pengeluaran fatwa menyokong pelaburan dalam dana amanah pada April tahun ini, diikuti Jabatan Mufit Pulau Pinang pada Ogos.

Kini semua negeri telah mengeluarkan fatwa positif untuk pelaburan itu,” katanya.

Beliau memberi jaminan kepada pelabur yang PNB tidak akan melabur dalam saham perjudian, alkohol dan tembakau.

Persidangan sehari bertema ‘Ke Arah Kemampanan Tadbir Urus Syariah dan Jaminan Dalam Institusi Islam’,  dianjur secara bersama oleh PNB dan USIM.

Ia bertujuan untuk menggalak perbincangan dan kerjasama dalam kalangan sarjana dan pengamal dalam bidang perbankan dan kewangan Islam. — Bernama

Advertisement