Anda di sini

Mari sama-sama sambut Hari Malaysia

Advertisement

Detik penting yang lenyapkan perasaan ‘keterasingan’ antara Sabah, S’wak, Semenanjung

KOTA KINABALU: Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun memberi makna besar kepada rakyat pelbagai kaum kerana ia merupakan detik penting yang telah melenyapkan perasaan ‘keterasingan’ dalam kalangan penduduk Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Sambutannya bukan sahaja berjaya meniupkan semangat perpaduan tetapi juga menyuntik rasa cinta terhadap negara sendiri.

Jadi bersama-samalah kita menyambut Hari Malaysia. Sabah, Sarawak mahupun negeri-negeri di Semananjung sama-sama membentuk Malaysia dan kekuatan atau kelemahan Malaysia terletak pada semua rakyat tanpa mengira asal usul, bangsa dan agama mereka.

Sebab itulah sikap toleransi antara satu sama lain perlu ada. Kutuk-mengutuk atau kata-kata penghinaan yang boleh mengganggu sensitiviti masyarakat perlu dielakkan supaya semangat 1Malaysia sentiasa terpelihara,” kata Pegawai Pembangunan Masyarakat, Inanam Lukin Taliban.

Beliau berkata, memang wajar sambutan Hari Malaysia disambut setiap tahun kerana ia akan memperingatkan rakyat bahawa melalui pembentukan Malaysia, rakyat di Sabah dan Sarawak telah mencapai kemerdekaan dan bersatu hati serta berganding bahu dengan rakyat di Semenanjung untuk membina sebuah negara yang maju dan bersatu padu.

Rakyat harus mengamalkan prinsip kesederhanaan dan sikap keterangkuman berlandaskan Gagasan 1Malaysia. Keamanan, keharmonian dan kemakmuran yang kita nikmati sekarang perlu dipertahankan,” katanya.

Lukin berkata untuk menyambut Hari Malaysia rakyat termasuk ahli politik perlu mengetepikan perbezaan politik masing-masing untuk sama-sama menyambut hari keramat itu.

Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya membatalkan hasrat dan memadamkan semangat  atau menjadi halangan kita untuk sama-sama menyambut Hari Malaysia,” katanya.

Presiden Penggerak Anak Bumi Sabah, Jimmy Palikat pula berkata Hari Malaysia telah diiktirafkan sebagai hari cuti umum oleh kerajaan dengan hasrat supaya semua rakyat di negara ini dapat menunjukkan semangat nasionalisme dan sentimen positif pada hari berkenaan.

Beliau berkata semua rakyat Malaysia perlu mengingati 16 Sept sebagai hari pembentukan Malaysia.

Hal ini bukan bererti kita perlu melupakan tentang 31 Ogos iaitu Hari Kemerdekaan kita, tetapi 16 Sept patut  diingati oleh semua rakyat Malaysia sebagai hari kelahiran Malaysia. Tarikh 16 Sept juga sama pentingnya kerana ia adalah hari kita menjadi Satu Malaysia.

Saya yakin kebanyakan orang di Sabah dan Sarawak hanya tahu mengenainya secara umum sahaja. Kesedaran tentang hakikat itu lebih rendah di Semenanjung Malaysia.

Namun kita tidak boleh persalahkan mereka kerana sejak berpuluh tahun lepas, minda mereka telah didedahkan dengan andaian bahawa Hari Malaysia sama ertinya dengan Hari Kemerdekaan,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Suku Kaum Banjar Tawau, Mohd Badrianshah Hamdi, 16 September 1963 merupakan peristiwa yang sangat bersejarah dan bermakna yang telah tercatat apabila Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah menjadi ‘Satu Negara’ ekoran keputusan pemimpin terdahulu serta disokong majoriti rakyat di ketiga-tiga wilayah.

Sambutan Hari Malaysia besar ertinya kerana apabila Sarawak dan Sabah bersetuju untuk bergabung dan merdeka dalam Malaysia, maka keputusan itu telah membawa perubahan yang amat besar.

Buktinya pada ketika ini Sabah dan Sarawak lebih menjadi makmur dan selamat di bawah naungan berkenaan,” katanya.

Oleh sebab itu, beliau berkata rakyat Sabah dan Sarawak perlu bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada gagasan Malaysia.

Marilah kita bersema-sama memberi sokongan terhadap sambutan ini. Walaupun kita tidak menghadiri sambutan Hari Malaysia di Kompleks Sukan Likas pada 16 Sept ini, namun kita boleh memberi sokongan dalam pelbagai cara seperti mengibar Jalur Gemilang di rumah masing-masing,” katanya. — Bernama

Advertisement