Anda di sini

Jalan terjejas banjir, bomba hantar kertas soalan UPSR ke sekolah

Advertisement
 Anggota APM membantu menghantar calon peperiksaan UPSR ke SK Lingkungan.
AKIBAT BANJIR: Anggota APM membantu menghantar calon peperiksaan UPSR ke SK Lingkungan.

PAPAR: Akibat jalan ditenggelami banjir, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar melakukan operasi membantu menghantar kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sumbiling Bongawan, di sini pada Selasa.

Ketua BBP Papar Janil Jaya berkata, pihaknya melakukan operasi itu berikutan Jalan Bongawan Estate iaitu jalan utama ke sekolah terbabit tidak dapat dilalui kenderaan kecil.

Bagi memastikan murid dapat menjalani peperiksaan UPSR seperti biasa, anggota kita membantu menghantar kertas soalan ke SK Sumbiling menggunakan kereta pacuan empat roda milik Borneo Samudera.

Anggota kita turut mengiringi lapan pengawas peperiksaan termasuk guru sekolah melalui jalan pintas di ladang sawit ke sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, empat pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru sekolah yang tidak dapat melalui jalan berkenaan berikutan digenangi kira-kira empat meter terpaksa menaiki lori Palm Truck bersama beberapa anggota polis dan bomba ke sekolah berkenaan.

Menurutnya operasi dijalankan seramai lapan anggota bomba bersama agensi lain termasuk polis dari Balai Bongawan, Balai Polis Papar, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan staf Borneo Samudera.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata dua kampung di Beaufort turut terjejas banjir.

Kampung yang terjejas termasuklah Lingkungan Laut dan Lingkungan Tengah. Bagaimanapun, belum ada pusat pemindahan yang dibuka berikutan keadaan banjir yang masih dalam keadaan terkawal.

Skuad Delta yang bertugas di lokasi banjir turut menjalankan Operasi Payung di Sekolah Kebangsaan (SK) Lingkungan yang membabitkan penghantaran seramai 18 murid serta 12 guru,” katanya.

Advertisement