Anda di sini

Ribut maut membadai Filipina

Advertisement

Setakat ini tiga maut , enam hilang akibat banjir di Metro Manila

 Penduduk menunggu giliran untuk meredah banjir menggunakan beca teksi di Las Pinas, Metro Manila ketika ribut membadai pulau utama Luzon semalam. — Gambar Reuters
TERKANDAS: Penduduk menunggu giliran untuk meredah banjir menggunakan beca teksi di Las Pinas, Metro Manila ketika ribut membadai pulau utama Luzon semalam. — Gambar Reuters

MANILA: Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan enam lagi hilang selepas taufan besar menyebabkan banjir berleluasa di ibu negara Filipina dan sekitarnya semalam, memaksa sekolah, pejabat kerajaan dan premis perniagaan ditutup.

Taufan tropika itu, yang menyebabkan beberapa orang ditenggelami air sehingga paras dada di luar Manila, merupakan taufan terbaharu yang melanda kepulauan Asia Tenggara itu, yang mengalami kira-kira 20 taufan sedemikian setiap tahun.

Kebanyakan mangsa yang mati atau hilang adalah orang miskin yang terpaksa tinggal dalam “zon bahaya” yang dikenal pasti walaupun kerajaan memberi amaran tentang risiko yang mereka akan hadapi sewaktu taufan berlaku.

Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada mereka secara berterusan bahawa tempat mereka sebenarnya cenderung mengalami kejadian tanah runtuh tetapi mereka berdegil juga untuk terus tinggal di sana,” kata pegawai pertahanan awam Ronnie Mateo selepas hujan menyebabkan kejadian tanah runtuh yang menimbus dua adik beradik lelaki remaja ke timur Manila.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lemas di sebatang sungai yang melimpah akibat hujan di sebuah bandar pinggir Manila, kata pegawai bandar raya.

Taufan itu, yang dipanggil ‘Maring’ oleh penduduk tempatan, melanda bandar timur Mauban sebelum ia bergerak ke barat laut merentasi pulau utama Luzon dan melintasi tepi Manila, kata stesen cuaca kerajaan.

Di Calamba City ke selatan Manila, banjir kilat menghanyutkan sebuah pondok di tepi sungai, menyebabkan enam penduduk termasuk bayi berusia dua tahun hilang.

Mereka adalah peneroka yang tidak formal, dan tinggal di tepi sungai. Banjir kilat berlaku dan ia menghanyutkan rumah dua tingkat mereka,” kata Noriel Habana, ketua pejabat pengurusan bencana di bandar raya itu.

Dalam kejadian banjir sebelum ini, kami menjalankan evakuasi awal. Banjir kilat kebetulan berlaku dan mereka tidak ada masa untuk bertindak balas,” katanya kepada AFP.

Pegawai ramalan cuaca Renito Paciente berkata Maring, yang membawa ribut selaju 100 kilometer sejam (ksj), hanya bergerak pada kelajuan 15 ksj sahaja, memburukkan lagi keadaan banjir.

Oleh kerana ia bergerak perlahan, ia dapat membawa lebih banyak hujan ke atas sesebuah kawasan,” katanya kepada AFP.

Mark Timbal, jurucakap bagi Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara, berkata kerajaan tempatan mengarahkan evakuasi penduduk dari kawasan pantai yang rendah dan cenderung berlaku kejadian tanah runtuh.

Dia tidak dapat segera memberi jumlah keseluruhan penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Kepulauan Filipina biasanya merupakan jisim tanah utama pertama dibadai taufan yang dijana di ruang Lautan Pasifik, yang kerap membawa kematian dan kesengsaraan.

Dalam salah satu insiden terburuk tidak lama yang lalu, 7,350 maut atau hilang selepas taufan super Haiyan melanda bahagian tengah Filipina pada November 2013. — AFP

Advertisement