Anda di sini

Perikatan Arab terlibat jenayah perang: HRW

Advertisement

Konflik di Yaman saksikan serangan udara menyasari orang awam termasuk kanak-kanak

 Gambar fail 29 Ogos lalu menunjukkan penduduk membawa kain rentang memaparkan gambar mangsa serangan udara perikatan Arab Saudi semasa mengadakan demonstrasi di pekarangan pejabat PBB di Sanaa. — Gambar Reuters
MENJADI MANGSA: Gambar fail 29 Ogos lalu menunjukkan penduduk membawa kain rentang memaparkan gambar mangsa serangan udara perikatan Arab Saudi semasa mengadakan demonstrasi di pekarangan pejabat PBB di Sanaa. — Gambar Reuters

DUBAI: Human Rights Watch (HRW) menuduh perikatan Arab Saudi yang berperang di Yaman melakukan jenayah perang semalam, dan berkata serangan udaranya membunuh 39 orang awam termasuk 26 kanak-kanak dalam tempoh dua bulan.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata lima serangan udara yang terkena empat kediaman keluarga dan sebuah kedai runcit dijalankan sama ada dengan sengaja atau cuai, menyebabkan kehilangan nyawa awam sewenang-wenang yang melanggar undang-undang perang.

Perikatan itu berulang kali menafikan dakwaan jenayah perang dan berkata serangannya menyasari musuhnya dalam pergerakan Houthi bersenjata di Yaman dan bukan orang awam.

Yaman dimusnahkan oleh perang saudara di mana kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, dan disokong oleh perikatan yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Britain, cuba mengekang kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran dan menguasai kebanyakan tempat di utara Yaman, selain daripada ibu negara Sanaa.

Janji demi janji yang dibuat oleh perikatan Arab Saudi untuk melancarkan serangan udara menurut undang-undang tidak mengecualikan kanak-kanak Yaman daripada serangan yang menyalahi undang-undang,” pengarah Timur Tengah dalam Human Rights Watch, Sarah Leah Whitson, menyebut dalam satu kenyataan.

Ini menggariskan keperluan bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera mengembalikan perikatan itu kepada “senarai keaiban” tahunannya kerana pencabulan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, pesawat perikatan menyerang sebuah rumah di Saada, dan membunuh sembilan sekeluarga, termasuk enam kanak-kanak, berusia tiga hingga 12 tahun.

Pada 3 Julai lalu, serangan udara mengorbankan lapan orang dari keluarga yang sama di wilayah Taiz, termasuk isteri dan anak perempuan berusia lapan tahun, kata organisasi tersebut.

HRW berkata, ia menemu ramah sembilan ahli keluarga dan saksi kepada lima serangan udara yang berlaku antara 9 Jun hingga 4 Ogos, dan tidak mengesan sebarang sebarang sasaran tentera yang berpotensi di kawasan berkenaan.

Peperangan ini sudah mengorbankan lebih 10,000 orang, menyebabkan lebih tiga bilion hidup dalam pelarian, selain memusnahkan kebanyakan infrastruktur di negara yang daif itu.

Perikatan pimpinan Arab Saudi itu ditubuhkan pada 2015 untuk menentang puak Houthi dan anggota tentera yang bersekutu dengan mereka yang telah melepaskan misil ke negara tersebut.

HRW menyeru kepada Majlis Keselamatan PBB untuk melancarkan siasatan antarabangsa ke atas pencabulan berkenaan di sesinya pada September ini.

Kelmarin PBB berkata ia sudah mengesahkan 5,144 kematian awam dalam peperangan di Yaman, terutamanya akibat serangan udara oleh perikatan Arab Saudi, dan siasatan antarabangsa diperlukan segera. — Reuters

Advertisement