Anda di sini

Pengikut Shining Path dibebas selepas 25 tahun

Advertisement
 Garrido Lecca (kiri) meninggalkan penjara di Lima. — Gambar Reuters/AFP
BEBAS: Garrido Lecca (kiri) meninggalkan penjara di Lima. — Gambar Reuters/AFP

LIMA: Seorang penari balet di Peru yang ditangkap menyembunyikan seorang ketua kumpulan Shining Path di pangsapurinya pada 1992 telah dibebaskan dari penjara kelmarin setelah dia menamatkan hukuman penjara selama 25 tahun.

Maritza Garrido Lecca, 52, muncul dengan senyuman dari sebuah penjara di pinggir berdebu Lima.

Ketika dia memasuki sebuah kereta, wartawan menjerit: “Adakah anda menyesalinya?”

Garrido Lecca merupakan orang terbaharu di antara bekas anggota militan yang telah dibebaskan, dan pembebasan mereka telah mencetuskan kebimbangan mengenai pergolakan.

Dibesarkan dalam sebuah keluarga Katolik yang mewah di Lima, ibu kota Peru, Garrido Lecca mengejutkan Peru apabila pihak berkuasa mendapati lelaki paling dikehendaki di negara itu, Abimael Guzman, tinggal secara sulit di tingkat kedua pangsapuri Garrido Lecca di atas studio di mana dia mengajar balet dan tarian moden.

Guzman melancarkan cubaan Shining Path untuk menggulingkan kerajaan pada 1980 dalam peristiwa yang akan menjadi salah satu konflik dalaman paling berdarah di Amerika Latin.

Kira-kira 69,000 orang maut dalam peperangan selama dua dekad di antara pasukan keselamatan negara dengan puak pemberontak haluan kiri.

Majoriti mangsa adalah petani peribumi miskin yang Guzman harap akan menerima rancangannya bagi pemberontakan bersenjata.

Penduduk kejiranan mewah Miraflores di Lima mengibarkan bendera Peru untuk menunjukkan bantahan ketika mereka menunggu ketibaan Garrido Lecca di bangunan pangsapuri ibunya yang sudah tua.

Kumpulan Shining Path dan terorisme adalah musuh kita dan kita akan sentiasa berwaspada dalam usaha memerangi mereka,” kata Menteri Keadilan Marisol Perez kepada wartawan sebelum pembebasan Garrido Lecca.

Walaupun Shining Path tidak lagi menjadi ancaman kepada kerajaan Peru dan sayap politik kumpulan itu, Movadef, sudah disekat daripada menubuhkan parti, pihak berkuasa berkata bekas anggota masih meniup konflik dan mendapat sokongan di kalangan orang muda.

Menteri Dalam Negeri Peru Carlos Basombrio menuduh bekas banduan Shining Path menyelinap ke dalam mogok guru yang berlarutan lebih dua bulan dengan pertelingkahan yang kerap berlaku di antara polis dan penunjuk perasaan.

Sementara tidak ada bekas anggota Shining Path yang telah meminta maaf bagi keganasan kumpulan itu pada masa lalu, Movadef berkata ia tidak lagi mahu mendapatkan kuasa dengan pemberontakan bersenjata.

Selepas penangkapannya, Garrido Lecca menafikan yang dia adalah sebahagian daripada kepimpinan Shining Path tetapi mengakui ada kaitan dengan kumpulan itu dan melaungkan kesetiaannya kepada kumpulan itu di depan kamera berita. — Reuters

Advertisement