Anda di sini

Da’i Adneen tersingkir dari Da’i Pendakwah Nusantara

Advertisement
 Da’i Afiqah mendahului Da’i Fahmi dari segi markah Juri Awam pada malam Ahad lepas.
DA’I PILIHAN JURI AWAM: Da’i Afiqah mendahului Da’i Fahmi dari segi markah Juri Awam pada malam Ahad lepas.

EPISOD kesembilan Da’i Pendakwah Nusantara Musim Kelima yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada malam Ahad lepas buat pertama kalinya, memperkenalkan konsep dan format yang baharu iaitu ‘Pengajian Kitab’.

Para peserta telah memberikan tazkirah secara berpasangan dan bergilir untuk menerangkan petikan hadis daripada kitab ‘Riyadus Solihin’ oleh juri tetap Ustaz Zarifi Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati. Setelah keenam-enam peserta selesai memberikan tazkirah, Da’i Adneen telah diumumkan tersingkir di akhir rancangan malam itu.

Pada malam itu juga, para peserta Da’i telah dipasangkan kepada tiga pasangan.

Da’i Fahmi bergandingan dengan Da’i Afiqah, Da’i Aiman bersama Da’i Syafiqah, dan Da’i Hakim bersama Da’i Adneen. Setiap pasangan akan dibacakan dua petikan hadis daripada Kitab Riyadus Solihin. Setiap seorang daripada mereka diberikan masa sebanyak dua minit untuk memberikan penerangan setiap petikan hadis yang dibacakan.

Menurut Juri Tetap Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail “Alhamdulillah saya dapat saksikan satu sejarah program realiti Dai Pendakwah Nusantara kerana buat pertama kalinya memaparkan konsep dan format yang baharu. Mengupas hadis merupakan antara asas tazkirah seorang pendakwah. Malam ini saya amat teruja dan berbangga dengan prestasi peserta kerana mereka dapat memberikan penerangan dengan tenang sambil menyampaikan dengan kreativiti masing-masing. Saya berharap agar format ini dapat dikekalkan di musim-musim akan datang kerana ini merupakan penyediaan kepada para peserta bagi menghadapi dunia pendakwah yang sebenar di luar sana.”

Buat Da’i Adneen, jangan menyerah kerana Adneen mempunyai potensi yang amat besar. Dari awal musim ini kita telah memberikan satu label kepada Adneen sebagai seorang yang kecil-kecil cili padi kerana adneen mempunyai hati yang besar dan penuh dengan ilmu. Walau bagaimanapun, saya nasihatkan kepada Adneen supaya jangan berhenti belajar, kerana Adneen mempunyai masa depan yang cerah, Insya Allah,” tambahnya lagi.

Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 ini masih mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid. Di mana tugasnya adalah untuk menasihati para Da’i juga merangkap sebagai ketua tenaga pengajar.

Murabbi yang terdiri daripada Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah pula, merupakan tenaga pengajar utama peserta Da’i yang akan meluangkan masa bersama mereka sepanjang program ini berlangsung.

Di samping itu, peserta Da’i juga akan turut menimba ilmu daripada juri-juri tetap pada setiap siaran langsung program ini. Juri-juri tetap yang akan bersama mereka adalah Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Sistem pemarkahan untuk musim ini adalah 70 peratus dari juri tetap, iaitu daripada Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail masing-masing akan mengadili dari sudut isi dan hafazan sebanyak (35 peratus), manakala (35 peratus) lagi adalah melalui personaliti serta gaya persembahan.

Dua puluh peratus akan diberikan oleh Murabbi iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustazah Asni Al-Hafizah. Akhir sekali, 10 peratus dari juri awam yang diundang pada setiap episod.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima ini akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Pemenang saguhati akan mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi Da’i Pendakwah Nusantara. Manakala penyandang gelaran Da’i Pilihan Penonton akan diumumkan di Pentas Akhir Da’i Pendakwah Nusantara.

Pemenang Da’i Pilihan Penonton akan dipilih berdasarkan jumlah kemenangan sebagai Da’i Pilihan Penonton setiap minggu yang ditentukan melalui jumlah hashtag nama mereka pada setiap minggu.

Juara Pendakwah Nusantara Musim Ke-5 akan menerima sebuah pakej Umrah untuk dua orang. Manakala pemenang saguhati dan Da’i Pilihan Almas masing-masing akan menerima sebuah pakej percutian kapal persiaran.

Penonton juga berpe-luang untuk menyaksikan Jurnal Da’i yang bersiaran pada setiap Ahad, jam 6 petang dan dihoskan oleh Da’i Syed (musim ke-4).

Jurnal Da’i akan memaparkan perjalanan pembelajaran mereka sebelum bergelar Da’i, di belakang tabir kelas bersama Murabbi dan Mursyid, aktiviti-aktiviti riadah dan juga aktiviti bersama penaja.

Program Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-5 ini diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diterajui oleh saudara Shukri Ibrahim selaku penerbit. Program ini dihoskan oleh Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Da’i Pendakwah Nusantara.

Program realiti keagamaan nombor satu negara ini disiarkan pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam. Selain itu, penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal video No.1 Malaysia, tonton di www.tonton.com.my.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.

 Da’i Hakim dinobatkan sebagai Da’i Pilihan penonton.
PILIHAN PENONTON: Da’i Hakim dinobatkan sebagai Da’i Pilihan penonton.
Advertisement