Anda di sini

Lapan individu disyaki terlibat judi siber diperintah reman

Advertisement

MIRI: Lapan individu termasuk seorang wanita ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan judi siber masing-masing diperintahkan Mahkamah Majistret Miri semalam supaya direman antara sehari hingga tiga hari.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan reman dikemukakan penolong pegawai penyiasat Sarjan Nageswararavo Subramaniam.

Dalam permohonannya, Nageswararavo berkata bertindak atas maklumat dite-rima pada 10 September lalu, sepasukan polis diketuai ASP Soliment Nyian melakukan serbuan ke sebuah premis di lot kedai Taman Delight di sini kerana disyaki menjalankan kegiataan perjudian atas talian.

Dalam serbuan jam 3.50 petang itu, polis menangkap seorang lelaki yang mengaku sebagai penjaga kaunter dan tujuh pelanggan termasuk seorang wanita.

Semasa serbuan sama, polis turut merampas satu unit komputer riba berserta satu tetikus berfungsi sebagai kawalan permainan perjudian, 13 unit komputer riba ber-serta tetikus untuk perjudian atas talian, satu unit jalur lebar mudah alih dan wang tunai RM860 untuk dijadikan barang kes.

Berikutan tangkapan itu, semua suspek berusia antara 30 hingga 47 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut.

Dalam permohonannya, Nageswarararo berkata reman selama empat hari mengikut Seksyten 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kesemua suspek amat diperlukan bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek pertama yang berakhir pada 14 September ini manakala suspek kedua hingga kelapan direman sehari hingga 12 September.

Advertisement