Anda di sini

41,317 calon duduki UPSR di Sarawak mulai esok

KUCHING: Seramai 41,317 calon dari 1,286 pusat peperiksaan di seluruh negeri akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 bermula esok hingga Khamis ini bagi Sekolah Kebangsaan, manakala untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sehingga 18 September ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Rakayah Madon, daripada jumlah itu seramai 31,180 calon atau 75.47 peratus akan menduduki UPSR dalam aliran Bahasa Melayu, sementara 10,137 lagi atau 24.54 peratus akan menduduki UPSR dalam aliran Bahasa Cina.

Sehubungan itu, seramai 320 Penyelia Kawasan dan seramai 5,027 Pengawas akan terlibat dalam urusan pengendalian ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Rakayah turut mengingatkan semua calon agar menyemak jadual waktu ujian dan membawa kad pengenalan atau surat beranak atau borang pengenalan diri dan kenyataan kemasukan ke pusat peperiksaan pada setiap hari peperiksaan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri menerusi talian 082-473538 atau 082-473520 atau Unit Penilaian Peperiksaan di Pejabat Pendidikan Daerah berhampiran.