Anda di sini

Penagih langgar syarat pengawasan AADK dipenjara setahun, dua sebatan

Advertisement

LIMBANG: Seorang bekas penagih dadah berusia 31 tahun yang sedang menjalani tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Limbang  dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Limbang di sini, baru-baru ini.

Majistret Mohd Hafizi Abdul Halim  menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dan dua sebatan atas kesalahan tersebut.

Menurut kenyataan akhbarnya semalam, Pegawai Pendakwa AADK  Zamnee  Ismail memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana tertuduh melanggar syarat pengawasan yang dikenakan di bawah Seksyen 6(1)(a) Subseksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan pemulihan) 1983 Pindaan 1988.

Tertuduh didapati bersalah kerana tidak mematuhi syarat pengawasan yang dikena selama dua tahun terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Limbang.

Pada masa sama, tertuduh didapati bersalah dalam ujian saringan air kencing kerana positif mengambil dadah jenis Ampethamine dan Methamphetamine disah melalui laporan Makmal Pengesanan Dadah, Jabatan Patologi, Hospital Queen Elizabeth.

Kes tersebut disiasat Mazlan Jikran selaku pegawai penyiasat AADK Daerah Limbang.

Dalam kes berasingan seorang wanita antara lima penagih berusia 22 hingga 39 tahun turut didakwa di Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Majistret Mohd Hafizi Abdul Halim memerintahkan dua daripada lima penagih berkenaan menjalani rawatan dan pemulihan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Dadah di Papar.

Kedua-dua penagih tegar berasal dari Kampung Punang, Lawas dan Batu Biah, Limbang itu turut diletakkan dibawah pengawasan polis dan AADK Daerah Limbang selama dua tahun selepas tamat menjalani pemulihan di pusat berkenaan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 yang memerlukan tertuduh menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan yang ditetapkan selama tempoh dua tahun dan selepas itu menjalani pengawasan selama tempoh dua tahun.

Tiga lagi penagih termasuk seorang wanita diperintahkan berada dalam pengawasan polis dan Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Limbang selama tiga tahun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Jika gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan mengikut syarat-syarat Subseksyen 6 (1) (a-f) akta yang sama boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 6 (3) akta yang sama iaitu hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi tiga kali atau kedua-duanya sekali.

Kes berkenaan disiasat Pegawai Penyiasat AADK Daerah Limbang Mazlan Jikran dan Pegawai Pemulihan AADK Harni Tani.

Advertisement