Anda di sini

Pemandu teksi dan Uber bergaduh, tiga kereta dibakar

Advertisement
 Anggota bomba memadam api yang menyelubungi sebuah kereta yang menurut polis dibakar semasa pergaduhan meletus antara pemandu teksi                              dan pemandu Uber di Sandton, Afrika Selatan kelmarin. — Gambar Reuters
MARAK: Anggota bomba memadam api yang menyelubungi sebuah kereta yang menurut polis dibakar semasa pergaduhan meletus antara pemandu teksi dan pemandu Uber di Sandton, Afrika Selatan kelmarin. — Gambar Reuters

JOHANNESBURG: Tiga kereta dibakar di daerah perniagaan Johannesburg kelmarin dalam pergaduhan terbaharu antara pemandu yang menjalankan perkhidmatan Uber dan pemandu teksi biasa.

“Tiga kereta dibakar,” jurucakap polis Mavela Masondo memberitahu AFP, sambil menambah bahawa dua kenderaan tersebut dipercayai milik pemandu Uber sementara sebuah lagi dimiliki oleh pemandu teksi.

Kereta keempat mengalami keadaan di mana cerminnya pecah semasa konfrontasi itu di kawasan Sandton. Tiada kecederaan dilaporkan.

Jurucakap Uber Samantha Allenberg mengesahkan salah sebuah kereta tersebut disenaraikan untuk menggunakan aplikasi Uber.

Wartawan AFP melihat beberapa rangka kenderaan yang terbakar, dua daripadanya hanya beberapa meter dari stesen kereta api dan sebuah lagi di depan hotel lima bintang di daerah kewangan mewah Johannesburg.

“Kami mengesyaki ia akibat pergaduhan yang berlaku antara pemandu Uber dan teksi bermeter di kawasan tersebut,” menurut Masondo.

Beliau menafikan laporan media tempatan bahawa polis menembak grenad pegun untuk meleraikan dua kumpulan pemandu yang bermusuhan.

Pemandu teksi kerap kali menyasarkan pemandu Uber di Johannesburg di mana mereka bersaing untuk penumpang. Mereka menuduh pemandu Uber mencuri perniagaan dan  bersaing secara tidak adil disebabkan oleh tambang yang rendah.

Perkhidmatan aplikasi kereta Uber adalah sangat popular di bandar di mana pengangkutan awam adalah kurang baik dan pemandu teksi sebelum ini memono-polinya. — AFP 

Advertisement