Anda di sini

Keriangan berakhir tragedi

Advertisement
 Pasukan SAR mengangkat keluar mayat Pau dengan pengusung dari Sungai Seduan jam 10.33 pagi semalam.
MAYAT PERTAMA: Pasukan SAR mengangkat keluar mayat Pau dengan pengusung dari Sungai Seduan jam 10.33 pagi semalam.

SIBU: Keriangan lima sekawan memancing di Sungai Seduan di sini berakhir tragedi apabila dua daripadanya mati lemas selepas dihanyut arus deras dalam kejadian lewat petang kelmarin.

Mayat dua mangsa dikenali sebagai Pau Chiong Huat, 19, dan James Tiong Kiong Hoe, 12, itu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masing-masing pada jam 10.33 pagi dan 11.42 pagi semalam.

Sebelum kejadian, kumpulan pelajar ini dipercayai memancing di sungai berdekatan Lorong 1F/3 Taman Perumahan Permai Jaya Sibu sebelum kedua-dua mangsa turun ke sungai bermain air tanpa menyedari paras air menaik.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, kes tersebut disiasat sebagai mati mengejut dan kedua-dua mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

Katanya, kedua-duanya dipercayai tidak pandai berenang dan gagal menyelamat diri sebelum dihanyut arus deras.

 Mayat kedua iaitu James ditemui sekitar 11.42 pagi semalam.
TRAGIS: Mayat kedua iaitu James ditemui sekitar 11.42 pagi semalam.

Sementara itu, adik kembar mangsa, Raymond Tiong Ing Hoe, 12, bercerita, ketika kejadian paras air mencecah bahunya dan mereka bermain di kawasan tebing sungai.

“Saya bersama James (abang kembar) sedang bermain air di tebing sungai dan arus deras mula menarik kami ke tengah sungai, “ jelasnya.

Katanya, Chiong Huat sempat menolaknya ke tebingan sungai  sebelum cuba menyelamatkan abangnya tetapi usahanya gagal apabila kedua-duanya dihanyut arus.

“Saya ternampak tangan James terkapai-kapai ketika dihanyut arus sungai.  Pau cuba menyelamatnya tetapi mereka terus hilang daripada pandangan saya,” katanya.

Sehingga jam 11 malam kelmarin, kedua-dua mangsa gagal dijumpai dan SAR terpaksa ditangguh sehingga dijumpai pagi semalam.

Menurut pasukan SAR, sungai itu selebar 30 meter dengan kedalaman dua hingga lima meter dari tebing mengikut pasang surut.

Penemuan kedua-dua mayat itu menamatkan SAR yang diaktif 7.15 malam kelmarin dan disertai 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, lima anggota polis, empat polis marin dan enam anggota APM Sibu.

  • oleh
  • Advertisement