Anda di sini

Hargai kemerdekaan negara, jayakan usaha kerajaan semarak perpaduan

Advertisement

LAHAD DATU: Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal mengajak rakyat menghargai kemerdekaan negara dengan terus bersama kerajaan menjayakan usaha menyemarakkan nilai perpaduan.

Menurutnya, keistimewaan Malaysia yang aman makmur hasil persefahaman rakyat yang berbilang bangsa, budaya keturunan dan berbeza agama perlu diteruskan agar generasi akan datang dapat meneruskan pembangunan negara.

Katanya, dasar kerajaan yang turut menjaga dan memelihara kepentingan rakyat ini juga perlu terus menjadi tunjang pada usaha dan kejayaan rakyat Malaysia.

Yusof yang juga Ketua UMNO Bahagian Silam berkata adalah amat penting rakyat memahami proses kemerdekaan negara dicapai hasil perjuangan pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Prinsip yang menjadi keutamaan memerdekakan negara ini daripada penjajahan British adalah bagaimana kita menjayakan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Tanah Melayu yang menjadi pelopor pada usaha kemerdekaan ini selepas 1957 telah berjaya membawa kepada kemerdekaan Malaysia 1963 yang membawa Sabah dan Sarawak menjadi aman makmur sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Lahad Datu di Dewan Perdana, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pegawai Daerah Iman Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan.

Pada majlis itu, Yusof turut meyempurnakan penyampaian Anugerah Tokoh Kemerdekaan (Jasamu Dikenang) kepada lima anak watan Lahad Datu.

Mereka ialah Datuk Jinurain Jalil Hassan yang pernah memangku Yang di-Pertua Negeri Sabah selama tiga bulan pada 1974, Tan Sri Mohd Sunoh Marso (anak watan yang pertama menjawat jawatan Speakar Dewan Undangan Negeri Sabah keempat tahun 1979-1986), Tan Sri Abdul Gani Patail (anak watan pertama menjawat Peguam Negara tahun 2002-2015), Rafael Ancheta @Mohammad Ancheta (pertama menjadi ADUN dan Ahli Parlimen tahun 1962-1967, mewakili Malaysia ke Mesyuarat Majlis Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Datuk Normah Gagoh (anak watan pertama wanita menjawat Pengarah Pendidikan Negeri Sabah).

Advertisement