Anda di sini

Tiga diarah reman bantu siasatan kes sumbang mahram

Advertisement
 Suspek (dua kiri) dibawa ke Balai Polis Sarikei untuk menjalani tahanan reman.
DIREMAN: Suspek (dua kiri) dibawa ke Balai Polis Sarikei untuk menjalani tahanan reman.

SARIKEI: Seorang lelaki di Sarikei direman lima hari dan dua beranak di Sibu diperintah reman tujuh hari untuk membantu siasatan dua kes rogol sumbang mahram berasingan, semalam.

Di sini, seorang buruh kasar dipercayai merogol anak kandungnya diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Sarikei untuk direman selama lima hari bermula semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen Sarikei Maris Agan memerintah suspek berusia 38 tahun ditahan reman untuk proses siasatan lanjut berkaitan kes terbabit.

Dalam kes berkenaan, pada 6 September jam 10.35, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, sekolah menengah dekat sini dibawa mendapatkan rawatan oleh warden asrama setelah mengadu sakit di bahagian perut.

Mangsa telah menceritakan kepada warden asrama bahawa dia dirogol  bapa kandungnya dan dibawa ke Hospital Sarikei bagi menjalani pemeriksaan sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan keterangan mangsa.

Berdasarkan maklumat awal mangsa, kejadian berlaku di sebuah rumah panjang di Sungai Bulat sejak Julai lalu.

Bertindak daripada maklumat diterima daripada mangsa, pihak polis telah bertindak menangkap suspek pada jam 4 petang, 6 September di Wad Kecemasan Sarikei, ketika suspek datang melawat mangsa dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan.

Sementara itu di SIBU, mahkamah semalam memerintahkan dua suspek kes rogol seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Durin kelmarin direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Suspek merupakan datuk dan bapa saudara kepada mangsa turut diperintah dihadapkan semula di mahkamah pada 14 September ini.

Kedua-dua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Berdasar laporan sebelum ini, kes terbongkar pada 2 September lalu ketika mangsa memberitahu ibunya bahawa dia telah diperkosa beberapa kali oleh kedua-dua suspek.

Datuk mangsa berusia 53 tahun manakala bapa saudaranya berusia 25 tahun dipercayai telah melakukan perbuatan keji tersebut sejak tahun lepas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah panjang di Sungai Durin dan ketika kejadian, mangsa tinggal di rumah datuknya manakala ibunya tinggal di Mukah.

Difahamkan, datuk mangsa baharu dibebaskan dari penjara tahun lepas selepas menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan atas kesalahan merogol kakak pengadu pada 2008.

Kedua-dua suspek ditangkap di lokasi berasingan di mana datuk mangsa ditahan di sebuah rumah panjang di Sungai Durin sementara bapa saudaranya ditahan semasa bekerja di sebuah kilang kayu di Durin, petang kelmarin.

Advertisement