Anda di sini

Terperosok bawah lori

Advertisement

Lelaki maut kereta rempuh lori batu, lagi kemalangan dicatat di Kuching dan Kanowit.

 Keadaan kereta mangsa yang remuk akibat terperosok di bawah lori dalam nahas di Jalan Kota Samarahan-Kuching.
REMUK: Keadaan kereta mangsa yang remuk akibat terperosok di bawah lori dalam nahas di Jalan Kota Samarahan-Kuching.

KUCHING: Seorang lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta yang dipandunya terperosok ke bawah belakang sebuah lori di Jalan Kota Samarahan-Kuching malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Jackson Lim Kui Hong berusia 36 tahun semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya apabila dipercayai gagal mengawal keretanya lalu merempuh belakang lori membawa muatan batu tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan dari dalam keretanya yang terperosok di bawah lori tersebut dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 malam.

Kemalangan melibatkan sebuah kereta yang dipandu mangsa telah melanggar behagian belakang lori tersebut.

Mangsa yang tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari dalam kereta oleh anggota bomba dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dihantar ke Unit Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.

Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerahkan ke tempat kejadian untuk operasi mengeluarkan mangsa dari dalam kereta.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kemalangan tersebut juga masih dijalankan.

 Anggota bomba berusaha memadamkan api di bahagian enjin kereta dalam kemalangan di Jalan Pending.
TERBAKAR: Anggota bomba berusaha memadamkan api di bahagian enjin kereta dalam kemalangan di Jalan Pending.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berjaya menyelamatkan dirinya sebelum keretanya terbakar selepas terlibat kemalangan di Jalan Pending, di sini semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 2.50 pagi apabila mangsa dikatakan gagal mengawal keretanya lalu merempuh tiang elektrik serta pembahagi jalan sebelum kereta tiba-tiba terbakar di bahagian enjin.

Anggota dari BBP Kuching hadir di lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran tersebut dan tiada kecederaan dan kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

 Salah seorang mangsa kemalangan di Jalan Nibong Tada, Kanowit diusung ke unit kecemasan Hospital Sibu.
RAWATAN LANJUT: Salah seorang mangsa kemalangan di Jalan Nibong Tada, Kanowit diusung ke unit kecemasan Hospital Sibu.

Sementara itu di SIBU, dua lelaki mengalami kecederaan selepas motosikal mereka hilang kawalan dan terbabas di Jalan Nibong Tada, Kanowit pagi semalam.

Salah seorang mangsa berumur 46 tahun mengalami kecederaan patah kaki kanan dan luka di bahagian muka, manakala pemboncengnya seorang warga emas, 70, mengalami kecederaan tengkuk dan tulang belakang.

Mereka digegaskan orang awam ke Klinik Desa di Nanga Tada sebelum dirujuk ke Hospital Sibu dengan menaiki ambulans pada jam 10 pagi.

Difahamkan kedua-dua lelaki berbangsa Iban tinggal di Nibong Tada ketika kejadian sedang dalam perjalanan menuju ke Durin.

  • oleh
  • Advertisement