Anda di sini

‘Super Spontan Superstar 2017’ janji yang terbaik, malam ini

Advertisement
 (Dari kiri) Syuk Joras, Atu Zero, Fikry dan Fad Bocey merupakan ahli kumpulan ‘King Musang’ yang diketuai oleh Shuib (kanan).
AHLI KING MUSANG: (Dari kiri) Syuk Joras, Atu Zero, Fikry dan Fad Bocey merupakan ahli kumpulan ‘King Musang’ yang diketuai oleh Shuib (kanan).

MALAM yang ditunggu-tunggu oleh peminat tegar segmen komedi di Malaysia akhirnya tiba di mana gelanggang ‘Super Spontan Superstar 2017’ akan dibuka secara rasminya pada malam ini (Jumaat) dengan pelbagai aksi lawak spontan oleh 16 orang ‘gengster & mafia’ yang juga merupakan pelawak serta selebriti terkenal tanah air.

Program realiti lawak spontan ini akan dipancarkan secara langsung dari Dewan Percubaan UPM, Serdang pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam selama lapan minggu berturut-turut.

Pertemuan kesemua ‘gengster & mafia’ tersebut boleh disaksikan di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan di platform digital iaitu menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Bagi siaran minggu pertama pada malam ini, penonton turut boleh menonton di Astro Prima (saluran 105), Maya HD (saluran 135) dan laman sesawang Portal Rasmi, ‘Gempak’ (www.gempak.com).

Bagi penganjuran musim ini, kesemua pemain dibahagikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan pertama iaitu kumpulan ‘Tenggiling Taiko’ diketuai oleh Achey dan turut dianggotai oleh Rahim, Sharif Zero, Danial, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Sharifah Shahira dan Ozlynn

Kumpulan yang kedua pula iaitu kumpulan ‘King Musang’ diketuai oleh Shuib dengan barisan anggotanya termasuk Syuk Joras, Atu Zero, Fikry, Fad Bocey, Kamal Adli, Amy Mastura dan Zulin.

Pertempuran pada minggu ini merupakan sebuah pertempuran penting untuk menonjolkan kekuatan kumpulan masing-masing dalam memenangi sokongan dan undian penonton. Istimewanya pada minggu pertama, pertemuan kedua-dua kumpulan ini akan turut dihangatkan dengan kehadiran Datuk Zainal Abidin serta dua teraju filem Abang Long Fadil 2, Syamsul Yusof dan Wak Doyok.

Format permainan pada kali ini masih lagi dikekalkan kerana penonton sudah arif dengan format dan permainan yang dimainkan dalam program ini. Antaranya adalah pemberian kad imuniti yang mula diperkenalkan pada musim lalu. Kad imuniti akan diberikan kepada seorang pemain pilihan penonton untuk menjadikan pemain tersebut kebal daripada penyingkiran.

Seperti penganjuran musim-musim sudah, Super Spontan Superstar 2017 masih meneruskan konsep ‘berhibur sambil beramal’ apabila pada setiap episod, juara mingguan akan mendermakan sejumlah RM5,000 kepada badan-badan kebajikan terpilih.

Juara ‘Super Spontan Superstar 2017’ akan membawa pulang RM100,000 beserta trofi. Naib juara akan meraih RM50,000 dan trofi manakala pemenang tempat ketiga akan memenangi RM25,000 dan trofi. Pemenang tempat keempat sehingga kelapan pula akan mendapat wang sagu hati bernilai RM5,000 setiap seorang.

Daripada segi pemarkahan pula, program ini memberi kuasa mutlak kepada penonton untuk penentuan pemenang mingguan sama ada kumpulan ‘Tenggiling Taiko’ atau ‘King Musang’ menerusi undian sistem pesanan ringkas (SMS). Setiap minggu kumpulan yang mendapat markah tercorot harus menyingkirkan seorang peserta daripada kumpulan mereka.

Berbeza untuk minggu akhir, undian akan dilakukan bukan mengikut kumpulan tetapi mengikut individu bagi penentuan juara, naib juara, pemenang tempat ketiga dan seterusnya. Talian undian secara SMS akan dibuka secara rasmi pada jam 10 malam ini (Jumaat).

Dato’ AC Mizal sekali lagi diberi tugasan sebagai ‘Pengacara’ manakala Amir Raja Lawak pula akan bertindak sebagai ‘Pengacara Bersama’ yang akan menanyakan pelbagai soalan panas kepada kedua-dua kumpulan untuk menghangatkan suasana permainan.

Afdlin Shauki pula kekal sebagai ‘Komentator’ yang akan membuat ulasan ringkas mengenai persembahan setiap kumpulan sambil ditemani selebriti jemputan mingguan.

Selain itu, slot istimewa program ramalan ‘Super Spontan 9:30’ akan turut bersiaran secara langsung bukan sahaja di saluran Astro Warna dan Warna HD tetapi juga di laman Facebook Zon Lawak (www.facebook.com/PortalZonLawak), 30 minit sebelum pentas utama Super Spontan Superstar 2017 dibuka.

Program yang dikendalikan oleh Ali Puteh ini akan mengundang beberapa selebriti untuk berbicara secara santai mengenai persembahan kumpulan ‘Tenggiling Taiko’ dan ‘King Musang’ pada minggu sebelumnya serta membuat ramalan kumpulan mana yang akan memenangi permainan pada minggu tersebut.

Penonton boleh menyaksikan secara langsung ‘Super Spontan Superstar 2017’ dan mendapatkan informasi terkini berkaitan program menerusi ruangan digital rasmi.

Untuk berita terkini dan aktiviti menarik buat penonton, penonton boleh melayari portal hiburan rasmi, Gempak manakala bagi mendapatkan live update mengenai program pula, penonton boleh mengikuti laman sosial Instagram @Gempak. Radio Era FM pula bertindak sebagai ‘Radio Rasmi’ Super Spontan Superstar 2017.

Bagi menghargai sokongan padu penonton setia program ini, Astro Circle telah menyediakan pelbagai hadiah menarik buat penonton seperti GoPro Hero 5 Session, Iphone 7 32GB, Sambung 40’ Full HD flat TV, iPad mini 4 128GB, Oppo R9s Gold, Playstation 4 slim 500GB, pakej pelancongan dan macam-macam lagi. Kesemua hadiah ini boleh dimenangi dengan menjawab beberapa soalan mudah yang akan diberikan pada setiap penghujung program.

Super Spontan Superstar 2017’ buat pertama kali ditaja oleh Kopi Badang selaku ‘Penaja Utama’.

Advertisement