Anda di sini

Pengarah syarikat didenda RM32,400 gagal kemuka 11 Borang Cukai Pendapatan

Advertisement

KLANG: Seorang pengarah syarikat kejuruteraan elektrik dikenakan denda RM32,400 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana gagal mengemukakan 11 Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam Borang BE mengikut tempoh yang ditetapkan.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi mengenakan denda itu terhadap Amran Che Othman, 38, Pengarah Syarikat Trigger Power Sdn Bhd, selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua 11 pertuduhan itu.

Amran membayar denda tersebut.

Pengarah itu didakwa gagal mengemukakan 11 Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam Borang BE bagi tahun taksiran 2005 sehingga 2015 mengikut tempoh yang ditetapkan Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kesemua borang itu membabitkan keseluruhan pendapatan bercukai sebanyak RM601,063 dan cukai yang perlu dibayar sebanyak RM46,767.33.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat itu di Shah Alam dan bagi kesemua kesalahan berkenaan, Amran didakwa mengikut Seksyen 112 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967. — Bernama

Advertisement