Anda di sini

Mahkamah tangguh sebutan kes warga asing terlibat dadah

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menangguhkan sehingga 20 September ini untuk sebutan lanjut kes seorang penganggur warga asing menghadapi tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Manakala tertuduh yang tidak ditawarkan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Lai Po Sen, 38, dari Pontianak, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki serta-merta menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa mennggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.55 malam, 9 Julai lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah(BSJND) Miri.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Advertisement