Anda di sini

Tuntutan palsu RM23.65 juta, tiga direman bantu siasatan

 Tiga individu termasuk seorang pengurus kanan syarikat cari gali minyak dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dipercayai mengemukakan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi satu projek pada 2015 di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
TUNTUTAN PALSU: Tiga individu termasuk seorang pengurus kanan syarikat cari gali minyak dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dipercayai mengemukakan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi satu projek pada 2015 di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Seorang pengurus kanan syarikat cari gali minyak adalah antara tiga individu direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan invois palsu berjumlah AS$5.56 juta (RM23.65 juta) bagi satu projek di Bintulu, Sarawak pada 2015.

Perintah reman bermula semalam hingga 11 Sept itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Dua individu lain yang direman ialah pengarah wanita sebuah syarikat kontraktor yang dikatakan dilantik untuk melaksanakan projek itu serta seorang bekas pembantu teknikal syarikat cari gali berkenaan.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara jam 2.40 dan 3 petang kelmarin.

Pengurus kanan syarikat cari gali itu dilaporkan ditahan di pejabatnya di Kuala Lumpur manakala pengarah syarikat kontraktor dan bekas pembantu teknikal itu ditahan di rumah masing-masing di Batu 9, Cheras dan Puncak Alam, Selangor.

Berdasarkan laporan media, kes itu ialah mengenai tuntutan palsu yang dilakukan melalui tiga invois syarikat kontraktor berkenaan antara April hingga Jun 2015 bagi kerja yang sepatutnya dilakukan syarikat itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. — Bernama