
TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Rubin Balang meminta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) memperbaiki kerosakan beberapa struktur bangunan Pusat Kebudayaan Murut Sabah (PKMS) di Polong, di sini.
Beliau berkata, kerosakan itu perlu diperbaiki segera agar ia selamat digunakan semasa Pesta Kalimaran Peringkat Negeri Sabah dilangsungkan di tempat itu tahun ini.
“Pusat ini adalah bekas GIATMARA yang mengalami kerosakan lebih kurang 10 tahun lalu dan terbiar tidak dibaiki selain membimbangkan dan membahayakan keselamatan orang ramai yang mengunjungi pesta ini kelak,” katanya kepada media semasa melawat pusat itu pada Sabtu.
Rubin yang juga presiden Persatuan Murut Sabah (PMS) melihat keadaan kerosakan yang serius dan bercadang mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin tempatan selain Ahli Jawatankuasa Tertinggi PMS sebelum mengemukakan cadangan itu kepada LKNS sebagai pemilik bangunan itu.
Beliau bersama AJK Tertinggi PMS akan menyenaraikan kerosakan yang memerlukan pembaikan segera memandangkan pusat itu adalah bangunan kerajaan dan penyelenggaraan adalah tanggungjawab LKNS.
Mengenai Pesta Kalimaran, beliau berkata tarikh belum ditetapkan namun ia bergantung kepada keadaan bangunan pusat itu.
“Bagaimanapun, pesta ini turut diadakan di peringkat daerah dan pada 23 September ini, daerah kecil Sook akan mengadakan pesta ini,” katanya.
Pesta Kalimaran atau Pesta Kesenian merupakan platform bagi masyarakat Murut di negeri ini mempamerkan kepakaran dan kemahiran masyarakat itu dalam seni kraf tangan, seni alat muzik tradisi seperti sompoton, bungkau, seruling dan kulintangan.
Pakaian tradisi dengan hiasan manik mengikut kesukuan etnik masing-masing seperti etnik Murut Timugon, Tagol, Baukan, Kolor, Sambakong, Paluan, Lundayeh dan lain-lain lagi turut dipamerkan pada pesta itu.
Pesta Kalimaran yang diadakan setiap dua tahun sekali berpusat di Pusat Kebudayaan Murut Sabah mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.