Anda di sini

Pengkritik lantang Hindu radikal India maut

Advertisement

Lankesh ditembak di depan rumah di Bangalore dipercayai angkara pengikut sayap kanan

 Kombinasi gambar menunjukkan ahli keluarga Lankesh meratapi kematiannya di rumahnya di Bangalore, kelmarin manakala penunjuk perasaan membawa sepanduk memaparkan gambar mangsa ketika memprotes di Bangalore, semalam. — Gambar AFP
BERAKHIR KEJAM: Kombinasi gambar menunjukkan ahli keluarga Lankesh meratapi kematiannya di rumahnya di Bangalore, kelmarin manakala penunjuk perasaan membawa sepanduk memaparkan gambar mangsa ketika memprotes di Bangalore, semalam. — Gambar AFP

BANGALORE: Aktivis, ahli politik dan wartawan India semalam menuntut siasatan penuh ke atas pembunuhan Gauri Lankesh, ketua pengarang akhbar dan pengkritik lantang parti pemerintah nasionalis Hindu setelah kematiannya mengejutkan industri.

Wanita berusia 55 tahun itu ditembak mati tiga lelaki tidak dikenali menaiki sebuah motosikal ketika mangsa memasuki rumahnya di bandar selatan Bangalore dalam negeri Karnataka lewat kelmarin.

Lankesh merupakan pengkritik tegar kerajaan sayap kanan Perdana Menteri Narendra Modi.

Polis menemui mangsa mati di halaman rumahnya dengan kesan tembakan di kepala dan dada.

Kesemua pembunuh berjaya melarikan diri dan setakat ini belum ada penahanan dibuat.

Sidang Ketua Pengarang India (EGI) berkata, kematiannya merupakan petanda suram bagi penentang dalam demokrasi dan serangan kejam ke atas kebebasan media, lantas menyeru siasatan menyeluruh dengan segera.

India sememangnya mempunyai rekod lemah dalam keselamatan wartawan, meskipun kebanyakan kematian berlaku di kawasan luar bandar terpencil jauh dari pusat bandar utama.

Namun pengkritik kerajaan Modi berkata, penentang dikekang ketika sentimen nasionalis menular dalam demokrasi terbesar di dunia itu.

Pada April, Wartawan Tanpa Sempadan (RWB) meletakkan India di tangga ke-136 daripada 180 negara dalam penarafan kebebasan media dunia, menyalahkan pihak nasionalis Hindu yang cuba membersihkan semua manifestasi pemikiran antinasional daripada perdebatan kebangsaan.

Kumpulan kebebasan media itu berkata, 25 wartawan telah mati di India sejak 2010.

Kematian terbaharu menyusuli pembunuhan kelompok sekular lantang India termasuk M.M. Kalburgi, yang ditembak mati pada 2015 juga di Karnataka, dipercayai oleh anggota radikal Hindu.

Lankesh menjadi sasaran kecaman penyangak sayap kanan dalam media sosial dan telah mengadu berdepan kebencian menggila yang membuatkannya khuatirkan kebebasan bersuara di India.

Tahun lepas mangsa didapati bersalah memfitnah seorang penggubal undang-undang daripada parti pimpinan Modi Parti Bharatiya Janata (BJP) dalam artikel 2008 mengenai dakwaan rasuah.

Pembunuhan ini mesti disiasat dengan efektif dan segera,” menurut kenyataan All India Democratic Women’s Association.

Pembunuhan Lankesh adalah petanda suram sikap tiada toleransi dan keganasan yang dibiarkan sebebasnya oleh peningkatan pengaruh pasukan sayap kanan dalam negara ini,” tambahnya.

Pengarah Asia Selatan Human Rights Watch (HRW) Meenakshi Ganguly pula menyeru ahli politik untuk mengecam keganasan yang bersandarkan kepada kepercayaan.

Penentangan, terlibat dalam kritikan, adalah kekuatan sesebuah demokrasi, tetapi di India, kesemuanya telah ditenggelami oleh dakwaan bahawa ia menyinggung kepercayaan atau negara,” katanya.

Rakan sekerja, aktivis dan rakan-rakan berkumpul di bandar-bandar utama di seluruh negara semalam untuk memprotes kematian Lankesh dan menuntut keadilan. — AFP

Advertisement