
KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah akan memperhalusi Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2017 sebelum diguna pakai dalam Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (Sabah Cap. 123).
Pengarah JPN Sabah Datuk Ismail Ahmad berkata, pihaknya akan berhubung dengan kerajaan negeri serta pengamal undang-undang Sabah bagi membincangkan pindaan berkenaan yang telah berkuat kuasa di Semenanjung melalui Akta Pendaftaran dan Kematian (Akta 299) Pindaan 2017.
“Kita lihat pindaan akta ini adalah sesuatu yang baik kepada masyarakat kita mengikut keperluan dan perkembangan semasa.
“Dalam pada itu, JPN Sabah di bawah Akta Cap. 123 ini akan berhubung dengan pihak kerajaan negeri dan pengamal undang-undang Sabah bagi memperhalusi atau berbincang agar pindaan ini boleh diguna pakai di sini sama seperti di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Jerayawara Pelaksanaan Pindaan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) Pindaan 2017, di sini pada Selasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi) Datuk Mohd Zahari Hassan berkata sebanyak 23 seksyen dipinda, lima seksyen baharu dan tiga seksyen dimansuhkan daripada 42 seksyen sedia ada dalam akta berkenaan yang mula dikuat kuasa pada 1 Ogos.
Namun jelasnya pindaan berkenaan hanya diguna pakai di Semenanjung sahaja.
“Pindaan ini adalah selaras dengan keadaan semasa dan pelbagai isu yang timbul yang mana, memerlukan perubahan proses kerja pendaftaran kelahiran dan kematian seperti insiden pesawat MH370 dan MH17 sebelum ini.
“Selain itu, perkembangan teknologi dan transformasi perkhidmatatan juga menjadi salah satu faktor untuk menambah baik akta itu selain meminda peruntukan-peruntukan yang agak ketinggalan agar lebih sesuai dengan keadaan semasa dan keperluan rakyat di negara kita.
“Peruntukan yang memberi kuasa kepada pegawai JPN menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan juga ditambah baik agar keselamatan negara terus terjamin,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zahari berkata JPN telah merangka sesi jelajah taklimat Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2017 mengikut zon di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dari Ogos hingga September.
Ia adalah untuk memberikan penjelasan dan kefahaman kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, wakil-wakil rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), ketua-ketua masyarakat serta badan berkepentingan lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pengurusan pendaftaran kelahiran dan kematian.
“Walaupun pendaftaran kelahiran dan kematian bagi negeri Sabah dan negeri Sarawak di bawah undang-undang berbeza, jerayawara ini tetap diadakan di kedua-dua negeri ini bagi memberi kefahaman dan pengetahuan kepada agensi-agensi berkaitan mengenai kebaikan dalam pindaan Akta 299 ini.
“Mungkin boleh dijadikan garis panduan dalam pindaan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian bagi kedua-dua negeri ini,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN Sabah Norsuraya Pinjaman.