Anda di sini

Dua penjawat awam mengaku tidak salah buat tuntutan perjalanan palsu

Advertisement

LIMBANG: Dua penjawat awam sebuah jabatan kerajaan di Limbang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan eluan perjalanan rasmi  di antara November dan Disember 2015.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh 43, didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu di dalam Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Rasmi berjumlah RM935 untuk melakukan kerja di luar kawasan di Ulu Sungai Lubai pada 21 Ogos hingga 1 September 2015 sedangkan tertuduh tidak berada di lokasi pada 22 Ogos dan 24 Ogos 2015.

Bagi tuntutan palsu kedua, tertuduh turut mengemukakan satu lagi dokumen Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Rasmi  berjumlah RM2,210 untuk melakukan kerja di luar kawasan di Ulu Sungai Lubai pada 25 Julai hingga 20 Ogos 2015 sedangkan tertuduh tidak berada di lokasi pada 5 Ogos 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat jabatan berkenaan di sini pada 10 November dan 12 Disember 2015.

Sementara itu, tertuduh kedua berusia 54 tahun didakwa mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu  di dalam Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Rasmi  dengan tuntutan keseluruhan berjumlah RM6,655.

Kesalahan dilakukan di pejabat jabatan sama pada 4, 17 November dan 21 Disember 2015.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai jumlah butiran palsu atau RM10,000 atau mana yang paling tinggi dan kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Advertisement