
PAPAR: Dua individu mengalami kecederaan selepas terbabit dalam pertembungan dua kenderaan di Jalan Kampung Gusi Kinarut, di sini pada Selasa.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata, kejadian jam 1 pagi itu membabitkan Perodua Kancil yang bertembung dengan kereta Alphard Vellfire.
“Kita mendapat panggilan kecemasan pada jam 1.49 pagi dan menggegaskan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar ke lokasi kejadian sejauh 16 kilometer dari lokasi balai,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 2.06 pagi segera melakukan operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam kereta Perodua Kancil.
“Mangsa dapat dikeluarkan kira-kira 15 minit kemudian sebelum dihantar ke Hospital Papar untuk menerima rawatan.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan operasi keseluruhan tamat pada jam 2.29 pagi,” katanya.