Anda di sini

Rogol anak sendiri, petani dihukum penjara 22 tahun

SUMBANG MAHRAM: Tertuduh diiringi polis ke kamar mahkamah hari ini.
 

BETONG: Seorang petani dihukum penjara 22 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol dan mencabul anak kandung sendiri yang berusia 15 tahun.

Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman 22 tahun penjara dan empat sebatan untuk setiap lima pertuduhan rogol, dan juga lima tahun penjara bagi satu pertuduhan mencabul selepas lelaki berusia 49 tahun itu mengaku bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu sejak mangsa berusia 12 tahun.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap pada iaitu pada 25 Ogos lepas.

Bagi tuduhan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, manakala tuduhan cabul dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat.

Pada 17 Ogos lepas, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga, menyembunyikan kejadian itu selama tiga tahun dan terbuka hati untuk menceritakannya kepada gurunya semasa sesi kaunseling di sekolah.

Dia mendakwa dirogol oleh bapanya sejak berusia 12 tahun di sebuah pondok kebun sawit di Kampung Emplam, Kabong, Saratok pada 2014.

Dia mendedahkan turut dirogol tujuh kali sejak 2014.

Kejadian rogol yang pertama dilaporkan berlaku dalam sebuah pondok di kebun sawit sejak mangsa berusia 12 tahun, manakala kejadian yang seterusnya berlaku di rumah mereka sendiri.

Lelaki itu diberkas polis di rumahnya di Kampung Emplam susulan laporan polis dilakukan guru tersebut pada 25 Ogos.