Anda di sini

Restoran, dua rumah musnah

Advertisement
 Santi tidak dapat menahan perasaan sedih dan terkejut dengan kejadian itu sambil mendukung anaknya yang berusia setahun lebih. Turut kelihatan seorang lagi anaknya yang berusia empat tahun (dua kanan).
TRAUMA: Santi tidak dapat menahan perasaan sedih dan terkejut dengan kejadian itu sambil mendukung anaknya yang berusia setahun lebih. Turut kelihatan seorang lagi anaknya yang berusia empat tahun (dua kanan).

MIRI: Kebakaran sebuah restoran makanan laut, sebuah rumah dan sebuah rumah sewa yang terletak di kaki Bukit Kanada di Jalan Miri-Bintulu di sini menarik perhatian pengguna jalan raya sehingga menimbulkan kesesakan teruk di sepanjang laluan tersebut.

Api yang marak memusnahkan kediaman dan rumah sewa berkenaan serta sebahagian besar restoran makanan laut tersebut dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi semalam. 

Santi Ukok, 32, yang tinggal di rumah sewa berkenaan sedang berehat bersama dua anak perempuannya, masing-masing berusia setahun lebih dan empat tahun, di ruang tamu sambil menonton televisyen apabila tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang kuat.

“Bunyi letupan itu disertai dengan bunyi bising. Saya ingatkan ada orang bergaduh di luar rumah. Tetapi apabila memeriksa, saya terkejut melihat asap tebal dan api marak dengan begitu cepat sekali,” katanya.

Santi yang ditemui dalam keadaan sebak dan masih terkejut dengan kejadian itu berkata, beliau kemudian bergegas masuk ke bilik untuk menyelamatkan kedua-dua anak kecilnya yang sedang tidur.

“Ketika kejadian, dua lagi anak saya yang berusia 13 dan lapan tahun berada di sekolah,” jelas ibu tunggal tersebut yang juga bekerja di restoran berkenaan.

__alt__

Menurut Santi, selain dua anaknya itu, beliau sempat mengambil beberapa dokumen penting milik mereka serta beberapa helai pakaian, sebelum menjauhi kawasan kebakaran.

Manakala, dua lagi saudara beliau yang juga tinggal di rumah sewa berkenaan, tidak ada di rumah ketika kebakaran berlaku. 

Pasukan bomba dan penyelamat yang terdiri daripada 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri bergegas ke tempat kejadian yang terletak dua kilometer dari balai sejurus menerima panggilan jam 11.37 pagi.

Pasukan tersebut yang turut dibantu oleh dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, mengambil masa hampir dua jam untuk memadamkan kebakaran.

Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya dengan operasi berakhir pada jam 1.20 petang.

Rumah kediaman dan rumah sewa berkenaan musnah keseluruhannya, manakala restoran terbabit musnah 90 peratus dalam kebakaran itu.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

 Anggota bomba bertungkus-lumus memadam api yang marak dalam kebakaran di kaki Bukit Kanada, semalam.
MUSNAH: Anggota bomba bertungkus-lumus memadam api yang marak dalam kebakaran di kaki Bukit Kanada, semalam.
  • oleh
  • Advertisement