Anda di sini

Periuk api ancam pelarian Rohingya

Advertisement

COX’S BAZAR: Dua kanak-kanak Rohingya, salah seorang daripada mereka kehilangan sebelah kakinya, telah tercedera dalam satu letupan periuk api ketika mereka cuba melarikan diri dari keganasan di Myanmar semalam, menurut seorang pegawai sempadan Bangladesh.

Insiden muncul selepas seorang wanita Rohingya turut kehilangan kaki akibat letupan di kawasan yang sama kelmarin, menimbulkan kebimbangan kawasan sempadan sengaja dipasang dengan periuk api.

“Mereka telah memijak beberapa bahan letupan sebegitu pada pagi ini dan salah seorang daripada mereka telah kehilangan kakinya,” komander pengawal sempadan Manzurul Hasan Khan memberitahu semalam mengenai dua kanak-kanak malang terbabit.

Punca letupan setakat ini tidak diketahui, menurut beliau yang berada dalam wilayah Myanmar, namun Khan percaya ia adalah akibat periuk api.

Khan menyatakan seorang wanita Rohingya telah dibawa ke sempadan kelmarin selepas kehilangan separuh kakinya dalam satu letupan, beberapa jam selepas pengawal mendengar satu letupan kuat dari bahagian Myanmar.

Khan menyatakan ramai penduduk Rohingya telah memasuki Bangladesh dengan kecederaan akibat tembakan, walaupun mustahil untuk menyatakan punca sebenarnya ketika akses media ke bahagian yang teruk terjejas  di wilayah Rakhine di Myanmar adalah terhad.

Kesemua tiga mangsa terbabit telah dihantar ke beberapa hospital di Cox’s Bazar, bandar berhampiran dengan sempadan, di mana ratusan ribu penduduk Rohingya, puak minoriti Islam tidak diiktiraf di negara Myanmar yang kebanyakan penduduknya beragama Buddha, telah berlindung di beberapa kem.

Mangsa tersebut juga antara kira-kira 90,000 orang penduduk Rohingya yang telah meninggalkan rumah mereka di Rakhine untuk mendapatkan perlindungan di Bangladesh sejak kemunculan pertempuran baharu di negara tersebut pada 25 Ogos.

Malaysia semalam memanggil duta Myanmar untuk meluahkan rasa kurang senang berhubung keganasan di Rakhine yang menyebabkan hampir 125,000 Rohingya menjadi pelarian.

Myanmar mendakwa pasukan keselamatannya terlibat dalam kempen sah menentang teroris yang bertanggungjawab ke atas siri serangan menyasari pos pemeriksaan polis dan tentera sejak Oktober 2016. — AFP

Advertisement