TAWAU: Bagi Sumarno Lama, 38, kebakaran di Kampung Titingan tengah malam kelmarin merupakan kejadian kedua yang dihadapinya dalam tempoh dua bulan.
Kali pertama ialah pada Julai lalu apabila gerai ibunya di pasar gantung turut musnah dalam kebakaran yang keseluruhan memusnahkan 77 lot gerai yang kebakarannya dipercayai berpunca daripada pendawaian elektrik lama.
Namun, dia reda dengan ujian berturut-turut itu.
Kemalangan jam 12.45 tengah malam kelmarin memusnahkan rumah pusaka keluarganya yang didiaminya sejak kecil bersama ibu dan adik-beradiknya.
“Saya tidak tahu apa yang perlu dicakap lagi. Air mata pun sudah kering kalau mahu menangis dan kini saya hanya mampu berdoa agar ada bantuan diberikan.
“Bantuan utama kewangan sangat diperlukan ketika ini kerana kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya yang menghuni di Blok 8 Kampung Titingan, selang sebuah rumah daripada rumah pertama yang terbakar.
“Anak adik saya mengejutkan kami dan memberitahu rumah berdekatan rumah kami terbakar sebelum kami seramai 14 orang termasuk ibu kami berlari keluar menyelamatkan diri serta barang-barang penting,” katanya yang kini menumpang di rumah keluarganya di Kampung Jawa.
Menceritakan mengenai suspek yang disyaki memulakan kebakaran dengan membakar rumah sewanya, Sumarno berkata individu itu berkelakuan aneh malam itu kerana dia bertindak mengeluarkan barang-barang dari rumahnya sebelum beberapa jam kemudian api kelihatan marak dari rumah tersebut.
“Orang kampung termasuk abang saya melihat dia berlari keluar daripada rumahnya dengan tergesa-gesa semasa api mula marak dan merebak ke rumah-rumah berhampiran termasuk rumah saya,” katanya.
Suspek telah ditahan pihak polis kerana menyebabkan 59 rumah lain turut terbakar dan 300 orang hilang tempat tinggal.
Sementara itu Ketua Kampung Titingan, Ismail Amoo, 68, berkata lelaki itu dipercayai mempunyai masalah pembayaran rumah sewa yang tertunggak kira-kira lima bulan.
“Pemilik rumah sebelum ini meminta agar rumah yang diduduki lelaki itu dikosongkan memandangkan sewanya yang banyak tertunggak,” katanya. — Bernama