Anda di sini

Dua kakitangan Jabatan Perhutanan Limbang dituduh buat tuntutan palsu

Advertisement

LIMBANG: Dua kakitangan Jabatan Perhutanan Limbang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan Elaun Perjalanan Rasmi di antara November dan Disember 2015.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh 43, didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu di dalam Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Rasmi berjumlah RM935 untuk melakukan kerja di luar kawasan di Ulu Sungai Lubai pada 21 Ogos hingga 1 September 2015 sedangkan tertuduh tidak berada di lokasi pada 22 Ogos dan 24 Ogos 2015.

Bagi tuntutan palsu kedua, tertuduh turut mengemukakan satu lagi dokumen Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Rasmi berjumlah RM2,210 untuk melakukan kerja di luar kawasan di Ulu Sungai Lubai pada 25 Julai hingga 20 Ogos 2015 sedangkan tertuduh tidak berada di lokasi pada 5 Ogos 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Perhutanan Limbang pada 10 November dan 12 Disember 2015.

Sementara itu tertuduh kedua berusia 54 didakwa mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu di dalam Borang Tuntutan Elaun Perjalanan Rasmi dengan tuntutan keseluruhan berjumlah RM6,655.

Kesalahan dilakukan di di Pejabat Jabatan Perhutanan Limbang pada 4 November, 17 November dan 21 Disember 2015.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai jumlah butiran palsu atau RM10,000 atau mana yang paling tinggi.


Kedua-dua tertuduh yang mengaku tidak bersalah tidak diwakili peguam.

 Tertuduh (tengah) memasuki Mahkamah Majistret Limbang, ditemani pegawai SPRM Limbang pagi tadi
TUNTUTAN PALSU: Tertuduh (tengah) memasuki Mahkamah Majistret Limbang, ditemani pegawai SPRM Limbang pagi tadi
  • oleh
  • Advertisement