Anda di sini

Dirogol datuk dan bapa saudara sendiri

Suspek, 53 yang baharu dibebaskan dari penjara pada 2016 atas kesalahan merogol, ditangkap polis pada jam 1 petang
SUMBANG MAHRAM: Suspek, 53 ditangkap polis pada jam 1 petang tadi apabila disyaki merogol cucunya
KE BALAI POLIS: Bapa saudara ditangkap di tempat kerja bagi membantu siasatan

SIBU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mendakwa menjadi mangsa rogol datuk dan bapa saudaranya beberapa kali sejak 2016.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kes itu hanya terungkai selepas surirumah berusia 25 tahun dimaklumkan anaknya pada Sabtu lepas, bahawa dia telah dirogol beberapa kali oleh kedua-dua suspek.

“Kesalahan rogol berlaku di rumah datuknya di sebuah rumah panjang di Sg Durin, Sibu. Pada masa itu, mangsa merupakan murid Darjah Satu tinggal di rumah datuk manakala ibunya tinggal di Mukah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dev berkata, pada jam 1 petang tadi, pasukan JSJ Sibu diketuai ASP Irwan Hafiz memberkas bapa saudara yang berusia 25 tahun di tempat kerjanya di kilang kayu di Durin, dekat sini.

Pada hari sama juga katanya, pasukan sama menangkap datuk mangsa yang merupakan seorang penganggur di rumah panjang di Sg Durin.

“Datuk mangsa dibebaskan dari penjara pada 2016 selepas menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan atas kesalahan merogol kakak pengadu (ibu mangsa) pada 2008,” katanya.

Permohonan reman untuk kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Sibu pagi esok.

Kes itu disiasat dibawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.