Anda di sini

Korea Utara bakal lancar misil

Advertisement

Seoul bincang dengan Washington tentang ‘usaha pencegahan’

 Bandar Korea Utara Sinuiju melatari pemandangan di seberang Jambatan Persahabatan (kiri) yang menghubungkannya dengan bandar sempadan China Dandong, dan Jambatan Patah di Dandong dalam wilayah timur laut Liaoning semalam. — Gambar AFP
PERANG NUKLEAR: Bandar Korea Utara Sinuiju melatari pemandangan di seberang Jambatan Persahabatan (kiri) yang menghubungkannya dengan bandar sempadan China Dandong, dan Jambatan Patah di Dandong dalam wilayah timur laut Liaoning semalam. — Gambar AFP

SEOUL: Korea Selatan semalam berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai usaha kerahan kapal pengangkut pesawat dan pengebom strategik ke semenanjung Korea selepas melihat petanda Korea Utara mungkin melancarkan lebih banyak misil selepas ujian nuklear keenamnya yang terbesar setakat ini.

Majlis Keselamatan PBB bertemu lewat semalam untuk membincangkan sekatan baharu terhadap rejim terasing itu dan Presiden AS Donald Trump juga meminta dimaklumkan mengenai semua pilihan ketenteraan yang ada, menurut ketua pertahanannya.

Pegawai berkata, aktiviti di sekeliling tapak pelancaran misil mencadangkan Korea Utara merancang lebih banyak ujian.

Kami terus melihat petanda kemungkinan pelancaran misil balistik.

Kami juga meramalkan Korea Utara mungkin melepaskan misil balistik antara benua (ICBM),” menurut pemangku timbalan menteri polisi pertahanan negara Jang Kyoung-soo semasa pendengaran Parlimen semalam.

Korea Utara menguji dua ICBM pada Julai lalu yang boleh mencecah jarak 10,000 kilometer.

Tentera udara dan darat Korea Selatan mengadkan latihan melibatkan misil balistik dan misil jarak jauh udara ke permukaan semalam susulan ujian nuklear Utara kelmarin, menurut ketua staf bersama.

Selain latihan, Korea Selatan akan bekerjasama dengan AS dan mungkin mengerahkan aset strategik seperti kapal pengangkut pesawat dan pengebom, kata Jang.

Kementerian pertahanan Korea Selatan juga merancang mengerah empat lagi sistem pertahanan misil baharu AS selepas selesai penilaian alam sekitar oleh kerajaan.

Pengerahan sistem kontroversi Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) di sebuah tapak selatan ibu negara Seoul, yang ditentang hebat negara jiran China dan Rusia, telah tertangguh sejak Jun.

Diplomat berkata, Majlis Keselamatan PBB kini mempertimbang larangan eksport tekstil dan syarikat penerbangan nasional Korea Utara, menghentikan bekalan minyak kepada kerajaan dan tentera, menghalang rakyat Korea Utara bekerja di luar negara dan menambah pegawai kanan dalam senarai hitam pembekuan aset dan larangan perjalanan.

Tatkala Presiden Moon Jae-in dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe bersetuju untuk memperketat sekatan dalam kerjasama dengan AS, Rusia berpandangan sinis.

Timbalan Menteri Luar Rusia Sergei Ryabkov semasa sidang kemuncak BRICS di China berkata, sekatan ke atas Korea Utara telah mencecah had impaknya dan jika ditambah, akan menjejaskan ekonominya.

Ujian nuklear kelmarin telah didaftarkan dengan agensi seismik antarabangsa sebagai gempa bumi buatan manusia dekat tapak ujian.

Pegawai Jepun dan Korea Selatan berkata, gegarannya 10 kali ganda lebih kuat daripada ujian nuklear Utara setahun lalu.

Pentadbiran Keselamatan Nuklear China berkata, data dari pusat pemantauan radiasi dekat sempadan Korea Utara tidak menunjukkan sebarang impak ke atas alam sekitar atau populasi. — Reuters

Advertisement