
TAWAU: Seorang individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran kira-kira 60 buah rumah setinggan melibatkan Blok 6, 7 dan 8 di hujung Kampung Titingan di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata lelaki berusia 47 tahun itu disyaki membakar rumah disewanya yang terletak di Blok 8 selepas berang dengan tuan rumah yang menghalaunya keluar ekoran gagal membayar sewa rumah.
"Mengikut keterangan penduduk kampung, api bermula dari rumah yang diduduki oleh lelaki yang bernama Talak yang membakar rumah sewanya. Bagaimana pun motif sebenar tindakannya masih disasat," katanya dalam kenyataan.
Suspek dilihat ditahan kira-kira 2 pagi.
Dia juga didapati positif dadah.
Dalam kebakaran kira-kira 12.45 tengah malam itu, lebih 300 penduduk tinggal sehelai sepinggang.
Seorang warga Indonesia, Sabon Ola, 83, maut dalam kebakaran itu yang dikatakan akibat sakit tua dan mempunyai masalah jantung. - BERNAMA