Anda di sini

Empat keluarga nikmati Program Baik Pulih Rumah

Advertisement
 Penduduk Kampung Napong 1 memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan Ewon.
SOKONG: Penduduk Kampung Napong 1 memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan Ewon.

RANAU: Sebanyak empat rumah milik keluarga yang berdaftar dalam e-Kasih di Kampung Napong 1, kira-kira 30 kilometer dari pekan, telah dibaik pulih daripada keadaannya yang uzur melalui peruntukan baik pulih rumah kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Samin Sabati berkata, mereka yang menerima pembaikan itu ialah Jalidin Lakusin, Masturin Juhar, Huimin Sahidin dan beliau sendiri.

Majlis perasmian program pembaikan rumah yang dibuat secara bergotong-royong itu telah disempurnakan Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin sempena lawatan beliau pada majlis pemimpin bersama rakyat di kampung itu.

Menurut Ewon, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta kepada negeri Sabah dan RM600,000 kepada Sarawak pada tahun ini untuk program membaik pulih rumah penduduk yang telah uzur.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM100,000 telah diberikan kepada Daerah Ranau di mana sejumlah RM40,000 telah dilaksanakan di Kampung Napong 1.

Kita sedar ramai lagi rakyat yang memerlukan peruntukan seperti ini dan kita akan berusaha dari semasa ke semasa untuk membolehkan rakyat Sabah dan masyarakat Daerah Ranau khasnya memperolehi kemudahan ini,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sijil penghargaan dan sedikit sumbangan kepada para penduduk kampung yang telah menyempurnakan pembaikan pulih rumah berkenaan.

Antara yang hadir pada majlis itu, Setiausaha Politik kepada ADUN Paginatan James Ingguru, Pegawai Khas Parlimen Ranau Japirin Sahadi, Ketua Pemuda UPKO Nasional Arthur Sen dan pemimpin setempat.

Advertisement