Anda di sini

40 kumpulan rock bakal gegar pentas Rocktoberfest Borneo

Advertisement
 

MIRI: Sejumlah 40 kumpulan rock Malaysia terkemuka dan kumpulan rock tempatan Borneo bakal menggegarkan pentas Rocktoberfest Borneo yang julung kali diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan.

Dua kumpulan rock yang tidak asing lagi iaitu Hujan dan Estranged antara kumpulan yang akan beraksi di Rocktoberfest Borneo berkenaan.

Acara itu akan berlangsung di Parkcity Everly Hotel Miri, lokasi tuan rumah yang terkenal dengan acara muzik seperti Borneo Jazz dan Miri Country Music Festival.

Rocktoberfest Borneo merupakan anjuran Northen Eastern Group dengan sokongan penuh Majlis Bandaraya Miri dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Penaja dan rakan kongsi bagi acara terbabit ialah Hotlink, JOOX, Uber, ParkCity Everly Hotel Miri, Stubapp, Alice in Borneoland, Marshall Headphones, dan The Tuyang Initiative, manakala rakan media rasminya adalah hitz.fm, EraFM dan TapauTV.

Menurut Konsultan Perhubungan Awam Rocktoberfest Borneo 2017 Elfie Jane, tiket ‘early bird’ telah dijual dan mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya daripada peminat muzik rock.

1,000 tiket awal (early bird) telah habis dijual dalam tempoh tiga minggu. Tiket masih dibuka untuk mereka yang ingin membeli dengan harga RM138 untuk dua hari acara tersebut.

Jualan tiket tersebut dibuka sehingga 5 Oktober (hari ini),” jelasnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Jelasnya, kumpulan Hujan dan Estranged menjadi antara kumpulan yang dinantikan oleh peminatnya selain dengan penampilan kumpulan heavy metal dari Filipina, Slapshock yang turut akan membuat persembahan sempena ulang tahun ke-20 kumpulan berkenaan dan pelancaran album kesembilan khas buat peminat di Malaysia.

Antara kumpulan rock popular yang bakal menarik peminatnya ke acara ini nanti ialah XPDC, Oh Chentaku, OAG, Bunkface, Protokol Kyoto, Monoloque, Pesawat, Sevencollar T-shirt, selain kumpulan rock tempatan seperti Masterpiece, Nicestupidplayground, Me Gusta dan Polar.

Malah, kumpulan-kumpulan rock lain yang akan turut menggegarkan pentas acara termasuk kumpulan dari Filipina, Singapura dan Brunei Darussalam,” katanya.

Selain persembahan daripada kumpulan rock berkenaan, Rocktoberfest Borneo turut diselitkan dengan aktiviti sampingan seperti jualan makanan tempatan dan pameran alat muzik tradisional.

Terdapat juga ruang ‘TradKulture Jam’ iaitu sesi akustik alunan muzik tradisional Borneo dan turut menawarkan peluang kepada pengunjung yang ingin mencuba muzik berkenaan.

Ruangan peminat tatu juga disediakan kepada mereka yang ingin mengetahui tentang tatu atau ingin membuat tatu,” ujarnya.

Acara Rocktoberfest Borneo berkenaan diharap dapat menjadi antara mercu tanda yang diiktiraf secara global kepada negeri Sarawak selain sebagai platform kepada bakat-bakat rock tempatan mengetengahkan muzik mereka.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau pembelian tiket, boleh melayari laman sosial Facebook www.facebook.com/RocktoberfestBorneo atau laman sesawang www.rocktoberfestborneo.com.

  • oleh
  • Advertisement