Anda di sini

Projek AIESEC Curtin Malaysia bawa impak penduduk luar bandar

Advertisement
 Sukarelawan ‘Explore Borneo’ bergambar bersama pelajar yang mengambil bahagian.
CERIA: Sukarelawan ‘Explore Borneo’ bergambar bersama pelajar yang mengambil bahagian.

SERAMAI 40 pelajar sukarelawan dari 18 negara mengambil bahagian dalam projek Incoming Global Volunteer (IGV) yang dikendalikan AIESEC, Universiti Malaysia Curtin (Curtin Malaysia) di Miri baru-baru ini.

 Sukarelawan dari Korea Selatan, Jepun, Belanda, Jerman, Itali, Lithuania, Pakistan, Ghana, Oman, Maghribi, Tunisia, Algeria, Mesir, India, China, Indonesia, Taiwan dan Vietnam itu meluangkan beberapa minggu sejak Julai hingga Ogos untuk projek Youth Impact di kampus Curtin Malaysia di Miri.

 IGV menyediakan landasan kepada belia seluruh dunia untuk mengembangkan kualiti kepimpinan melalui pembabitan dalam aktiviti rentas budaya di luar negara.

 Program ini dirangka berdasarkan agenda Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang disokong Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).

 Di bawah program Youth Impact ini, sukarelawan AIESEC dikehendaki melaksanakan lima projek kecil berbeza iaitu ‘Adventure in BorneoLand’, ‘Educate Borneo 2.0’, ‘Explore Borneo’, ‘Light of Borneo 2.0’ dan ‘Speak Up 2.0’.

 Untuk projek ‘Adventure in BorneoLand’ peserta perlu tinggal bersama komuniti tempatan di kampung untuk pertukaran budaya dan mereka dikehendaki mendokumenkan aktiviti harian melalui filem dan tulisan artikel.

 Manakala Educate Borneo 2.0, peserta mengadakan bengkel kemahiran para pelajar berusia 11 hingga 15 tahun selain mempelajari membuat kraf tangan seperti menganyam bakul dan kraf lain.

 Peserta ‘Explore Borneo’ pula dikehendaki mereka peralatan bantuan pembelajaran interaktif dan melibatkan kaedah pengajaran untuk menggalakkan pelajar memberi idea dan pendapat manakala projek ‘Light Up Borneo 2.

0’ bertujuan meningkatkan kesedaran tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hijau dengan menyediakan lampu solar kepada penduduk kampung.

 Program ‘Speak Up 2.0’ pula merupakan aktiviti di mana sukarelawan mengadakan bengkel penggunaan bahasa Inggeris asas untuk pelajar selain sesi berkongsi kebudayaan untuk meningkatkan pemahaman mengenai budaya orang lain.

 Antara pihak yang terlibat menjayakan program AIESEC ialah Kelab Pertanian Curtin, Institusi Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal (IEEE) cawangan Pelajar Curtin Malaysia, Sidang Injil Borneo (SIB), penduduk kampung Long Puak dan Kampung Api-Api.

 Ia turut melibatkan 12 sekolah iaitu SJK (C) Cheen Mung, SMK Lutong, SJK (C) Chung Hua Sibuti, SJK (C) Chin Nam, SJK (C) Chung Hua Bakam, SJK (C) Chung Hua Miri, SJK (C) Chung Hua Krokop, SJK (C) Chung San, SMK Marudi, SMK Pujut, SMK St Columba Miri dan SMK St Joseph.

 Projek ini ditaja oleh Excell Enterprise, Dessert Master, Yummy Yang Miri, Kang Fung Trading, HTM Hardware dan Koffeebrick.

 AIESEC merupakan pertubuhan bukan kerajaan dan bukan berasaskan kepada keuntungan dan organisasi berasaskan kepimpinan belia yang mempunyai keahlian kira-kira 70,000 dari 127 negara dan wilayah persekutuan.

  • oleh
  • Advertisement