Anda di sini

FARC dilancarkan semula sebagai sebuah parti politik

Advertisement
 Ahli dan penyokong FARC berarak sambil membawa bendera tertera logo baharu FARC yang kini menjadi sebuah parti politik semasa penutupan Kongres Kebangsaan di Bogota. — Gambar AFP
SOKONGAN PADU: Ahli dan penyokong FARC berarak sambil membawa bendera tertera logo baharu FARC yang kini menjadi sebuah parti politik semasa penutupan Kongres Kebangsaan di Bogota. — Gambar AFP

Nama cetus kontroversi kerana kekalkan akronim sama

BOGOTA: Bekas gerila Tentera Revolusi Colombia (FARC) dilancarkan semula kelmarin sebagai sebuah parti politik, dengan menukar logo raifal mereka kepada mawar merah selepas meletak senjata untuk menamatkan konflik sivil selama setengah abad.

 Parti baharu itu mempunyai ‘ciri umum, parti baharu bagi negara baharu Colombia’, kata bekas pemerintah tentera kumpulan itu Pablo Catatumbo pada satu sidang akhbar.

 Ia adalah pergerakan yang ‘komited untuk menjamin keadilan sosial, keamanan, kedaulatan serta reformasi tanah dan pertanian, demi membela kepentingan rakyat”, katanya.

 Ketua FARC Rodrigo Londono pada Khamis lepas mengumumkan nama parti baharu itu: Angkatan Revolusi Alternatif Umum (FARC).

 Nama itu mencetuskan kontroversi kerana mengekalkan akronim sama dan semangat revolusi kumpulan gerila komunis yang melancarkan kempen berdarah selama 52 tahun untuk menentang kerajaan sebelum menandatangani perjanjian damai pada tahun lepas.

 Selepas dibubarkan dan diberi nama baharu, parti itu kini berdepan dengan perjuangan bagi penerimaan politik di negara yang musnah akibat serangan dan penculikan selama berdekad-dekad.

 Delegasi FARC menghabiskan minggu ini dalam satu kongres penubuhan untuk memilih wakil politik mereka.

 Pemilihan nama adalah satu lagi perkara penting dalam agenda.

 Beberapa pemimpin FARC mahu mengekalkan elemen ‘revolusi’, manakala ada pula yang mahu melembutkan imej kumpulan itu dan menggantikannya dengan ‘Colombia Baharu’.

 Pada akhirnya, majoriti mengundi untuk memanggilnya ‘Fuerza Alternativa Revolucionaria del Comun’ dalam bahasa Sepanyol, dan oleh yang demikian, ia masih dikenali dengan singkatan FARC.

 Logo bagi parti baharu adalah mawar merah ala sosialis dengan bintang di tengahnya di atas huruf FARC dalam warna hijau.

 Logo lama kumpulan bersenjata itu adalah dua laras raifal yang bersilang di bawah satu buku.

 Akronim FARC adalah satu perkara yang sensitif dalam proses damai yang sudah pun rumit, kerana bagi ramai warga Colombia ia adalah sinonim dengan kematian dan penderitaan sewaktu peperangan.

 “Nama ini dari mula lagi mungkin akan membataskan mereka untuk mewakili hanya sebahagian kecil sahaja populasi,” kata pakar sosiologi Fabian Sanabria.

 Seorang jurucakap parti berkata terjemahan rasmi dalam bahasa Inggeris untuk nama parti akan diumumkan.

 FARC ditubuhkan sebagai pergerakan komunis pada 1964 daripada pemberontakan petani miskin untuk menuntut hak tanah di luar bandar.

 Dalam tempoh beberapa dekad selepas itu, konflik itu menarik pelbagai pasukan pemberontak, kumpulan separa tentera dan tentera kerajaan.

 Kira-kira 260,000 orang disahkan mati, 60,000 lagi tidak dapat dikesan dan tujuh juta hidup dalam pelarian dalam konflik paling lama di Amerika Latin itu.

 Parti baharu akan bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun depan.

 Catatumbo memberitahu AFP, parti baharu merancang untuk memilih secara rasmi wakil politiknya yang baharu sebelum November.

 Di antara mereka mungkin beberapa bekas komander gerila terkemuka, termasuk Catatumbo sendiri.

 Tidak kira berapa banyak undi yang mereka mungkin perolehi, perjanjian damai yang ditandatangani bersama kerajaan pada tahun lepas menjamin lima kerusi untuk FARC dalam setiap daripada dua dewan perundangan selama dua penggal.

 Rakyat Colombia menolak dengan tipis perjanjian damai kerajaan dengan FARC dalam referendum pada tahun lepas.

 Presiden Juan Manuel Santos dan FARC kemudian mengubahnya sedikit dan kerajaan memastikan ia diluluskan oleh Kongres.

 “Kami memasuki kehidupan politik yang sah kerana kami mahu menjadi kerajaan atau menjadi sebahagian daripadanya,” kata Ivan Marquez, ketua perunding kumpulan pemberontak itu dalam rundingan dengan kerajaan Santos.

 FARC baharu akan berusaha untuk membina ‘perikatan pemusatan umum yang demokratik dan besar, dibina atas dasar yang sama dan komitmen bersama’, kata Marquez.

 Kerajaan turut membuka rundingan damai dengan kumpulan aktif terakhir di Colombia, Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN) yang mempunyai 1,500 anggota, dengan harapan untuk memeterai apa yang disebut oleh Santos sebagai ‘keamanan lengkap’.

 Ketua dan pegawai FARC memberi amaran bahawa saki-baki kumpulan separa tentera haluan kanan masih melancarkan serangan dalam zon konflik.

 — AFP

Advertisement