Anda di sini

Suami isteri minat seni gubahan bunga menang tempat kedua, ketiga

Advertisement
 Durie (berdiri) merakamkan gambar bersama pemenang pertandingan gubahan bunga kategori individu PRE-APOC 2017. Kamil (duduk tiga kiri) dan Julia (duduk dua kiri).
KATEGORI INDIVIDU: Durie (berdiri) merakamkan gambar bersama pemenang pertandingan gubahan bunga kategori individu PRE-APOC 2017. Kamil (duduk tiga kiri) dan Julia (duduk dua kiri).

PASANGAN suami isteri, Kamil Hassan dan Julia Abdul Rahman antara yang menyertai pertandingan gubahan bunga sempena Pra-Persidangan Orkid Asia Pasifik (PRE-APOC) 2017. Berkongsi minat yang sama dalam seni gubahan bunga, Kamil dan Julia masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan itu bagi kategori individu.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Durie Austin di Pustaka Negeri di Kuching, baru-baru ini.

Kamil yang ditemui baru-baru ini berkata, beliau mula bergiat dalam seni gubahan bunga sejak 2003 dan aktif dalam menyertai mana-mana pertandingan yang diadakan dalam negeri.

Meskipun persaingan besar dan peluang menang tipis namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk menyertai mana-mana pertandingan kerana minat yang begitu mendalam terhadap bunga.

“Saya dan isteri memang tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai apa sahaja pertandingan gubahan bunga yang dianjurkan di negeri ini termasuk di luar Kuching.

“Saya pernah menjuarai satu pertandingan sempena Hari Peladang tahun lepas dan juga juara pada Program Jiwa Senada di Samarahan tahun lepas,” katanya.

Kerana minat yang mendalam terhadap seni gubahan bunga, Kamil dan isteri kini menjalankan perniagaan gubahan bunga secara kecil-kecilan dari rumah selain menerusi atas talian.

Kamil turut menyimpan impian untuk menyertai pertandingan gubahan bunga yang lebih berprestij pada masa akan datang jika diberi peluang.

Dalam pada itu, gubahan bunga merupakan sebahagian daripada pertandingan yang diadakan oleh penganjur PRE-APOC 2017 bermula dari 23 hingga 27 Ogos.

Pra persidangan ini adalah sebagai pengenalan bagi penganjuran APOC pada tahun 2019 yang akan dihoskan oleh DBKU.

  • oleh
  • Advertisement