
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan dana khas berjumlah RM500,000 untuk pembangunan orang kelainan upaya (OKU) yang menuntut di Kolej Asian Tourism International (ATI).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman mengumumkan peruntukan berkenaan sempena majlis Konvokesyen Kolej ATI Ke-20, di sini pada Selasa.
Menurutnya, dana khas berkenaan turut disediakan untuk membantu pelaksanaan ‘School Tourism Outreach Programme’ (STOP) Kolej ATI.
Katanya, bantuan untuk golongan OKU serta pelajar yang kurang berkemampuan sentiasa mendapat perhatian utama kerajaan negeri.
“Kita melalui Kementerian Kewangan, Yayasan Sabah dan agensi berkaitan banyak menyumbangkan dana untuk pembiayaan biasiswa pelajar di Sabah.
“Saya juga menggalakkan agensi negeri yang berkeuntungan agar sentiasa membantu dan membuat transformasi seperti membina bangunan asrama untuk golongan susah yang tinggal jauh dari sekolah.
“Ini antara usaha kita selama ini dan sekarang kita lebih bersedia untuk menyediakan asrama secara percuma untuk pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata, usaha membantu golongan yang memerlukan adalah penting terutamanya pelajar bidang pelancongan.
Musa berkata, sektor pelancongan sekarang memerlukan lebih ramai tenaga kerja sebagaimana graduan yang dihasilkan dari Kolej ATI.
“Saya pernah ditemui oleh salah seorang pemimpin dari China yang sanggup menyediakan lebih ramai kedatangan pelancong dari negara itu.
“Ini membuktikan sektor pelancongan memerlukan lebih ramai tenaga kerja bagi menampung permintaan dan keperluan sektor berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa sedar dengan masalah yang dihadapi oleh belia terutamanya dari kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, ia memerlukan kerajaan untuk mencari jalan bagi membantu golongan berkenaan mengatasi masalah mereka terutamanya melibatkan aspek elaun sara hidup serta perbelanjaan penginapan.
Pada majlis itu, seramai 200 graduan dari peringkat diploma, pradiploma dan sijil kemahiran menamatkan pengajian.
Ia termasuklah 39 graduan dari Sabah Cheshire Home yang berjaya menamatkan pengajian peringkat Sijil Kemahiran Tahap 2 bidang pastri.
Graduan Diploma Pengurusan Perniagaan Stefan Bradley Alex yang memperolehi pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73 menerima Anugerah Pelajar Terbaik Sekolah Perniagaan.
Anak bongsu daripada dua adik-beradik ini bercita-cita untuk membuka perniagaan sendiri yang melibatkan bidang sukan.
“Pelajar seharusnya menggunakan kecanggihan teknologi yang ada sekarang untuk belajar secara pintar.
“Bagi saya, seorang pelajar perlu banyak bertanya dan tidak hanya berdiam diri jika ada perkara yang tidak difahami,” katanya.
Beliau turut berhasrat menyambung pengajian dalam bidang sukan dan menjadikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai universiti pilihan.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sekolah Pelancongan Shanice Paglar menganggap kegagalan mencapai cita-cita bukan penyebab untuk seseorang mudah berputus asa.
Pernah ditolak sebanyak dua kali menjadi pramugari, beliau tidak serik untuk terus memburu kejayaan walaupun dari bidang yang berbeza.
“Sebelum ini, saya pernah bekerja selama empat tahun di Rasa Ria Resort di bahagian khidmat tetamu.
“Justeru, ini membuka peluang kepada saya untuk mendalami lagi bidang pelancongan memandangkan ia satu bidang yang luas,” katanya yang memperolehi CGPA 3.76 untuk Diploma Pengurusan Pelancongan.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej ATI Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau.