Anda di sini

Posmen terselamat bom atom meninggal dunia

Advertisement
 Gambar fail 9 Ogos lalu menunjukkan Taniguchi di Nagasaki. — Gambar AFP
KENANGAN PAHIT: Gambar fail 9 Ogos lalu menunjukkan Taniguchi di Nagasaki. — Gambar AFP

TOKYO: Aktivis pelucutan senjata nuklear terkemuka Sumiteru Taniguchi, yang sedang menghantar mel di Nagasaki ketika Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom pada 1945, meninggal dunia semalam pada usia 88 tahun.

Taniguchi, yang pernah dianggap sebagai calon utama untuk Hadiah Keamanan Nobel, meninggal dunia kerana kanser di sebuah hospital di kota barat daya Jepun itu, menurut Nihon Hidankyo, sebuah kumpulan yang mewakili mangsa yang terselamat dalam serangan bom atom ke atas Nagasaki dan Hiroshima.

Lelaki yang menjadi posmen ketika itu, berusia hanya 16 tahun sahaja ketika serangan itu berlaku pada hari-hari terakhir Perang Dunia Kedua, mengalami kelecuran yang dahsyat pada bahagian belakang dan lengan kirinya yang memakan masa bertahun-tahun untuk sembuh dengan elok.

Dia sedang menunggang basikalnya kira-kira 1.8 kilometer dari pusat letupan.

Tiba-tiba, selepas melihat cahaya seperti pelangi dari belakang, saya ditiup oleh letupan kuat dan menghempap tanah,” katanya di satu majlis peringatan bagi serangan bom ke atas Nagasaki pada 2015.

Apabila saya terjaga, kulit lengan kiri saya dari bahu ke hujung jejari saya mengelupas seperti kain buruk. Saya meletakkan tangan saya di belakang saya dan mendapati baju saya sudah tiada lagi, dan tangan saya dibaluti kulit terbakar yang berlendir.

Mayat terbakar hitam, suara meminta bantuan dari bangunan yang roboh, orang dengan daging yang tertanggal dan usus mereka yang tersembur keluar … Tempat ini menjadi laut api. Ia adalah neraka.”

Dia menjadi satu daripada beberapa wajah awal selepas serangan bom itu apabila gambarnya yang diambil oleh tentera AS ketika dia menerima rawatan di hospital, seluruh belakangnya lapisan daging cair yang menyeksakan, dipancarkan ke seluruh dunia.

Taniguchi, yang menghabiskan masa kira-kira tiga setengah tahun di hospital selepas letupan itu berlaku, seterusnya menjadi seorang aktivis pelucutan senjata yang terkemuka, dan membuat puluhan ucapan baik di Jepun mahupun seberang laut mengenai pengalamannya.

Saya bimbang orang, terutamanya generasi muda, sudah mula hilang minat,” katanya dalam satu temu ramah pada 2003 dengan AFP.

Saya mahu generasi muda ingat bahawa senjata nuklear tidak akan menyelamatkan umat manusia. Ia adalah satu ilusi untuk percaya bahawa payung nuklear akan melindungi kita.”

AS menggugurkan bom atom pertama ke atas Hiroshima pada 6 Ogos 1945, dan membunuh kira-kira 140,000 orang. Bilangan itu termasuk mereka yang terselamat daripada letupan itu sendiri tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian kerana terdedah kepada radiasi yang teruk.

Tiga hari kemudian AS menggugurkan bom plutonium ke atas kota pelabuhan Nagasaki, dan membunuh kira-kira 74,000 orang. — AFP

Advertisement