Anda di sini

MASwings diminta tambah baik perkhidmatan di Sabah dan Sarawak

Advertisement
 Masidi (tujuh kanan) bersama Aminuddin (sepuluh kanan) dan Pengerusi Kumpulan Penerbangan Malaysia Tan Sri Md Nor Mohd Yusof (lapan kanan) bergambar bersama tetamu jemputan dan kakitangan MASwings semasa pelancaran itu.
KOMITMEN: Masidi (tujuh kanan) bersama Aminuddin (sepuluh kanan) dan Pengerusi Kumpulan Penerbangan Malaysia Tan Sri Md Nor Mohd Yusof (lapan kanan) bergambar bersama tetamu jemputan dan kakitangan MASwings semasa pelancaran itu.

KOTA KINABALU: Memasuki tahun ke-10 MAS Wings beroperasi di Sabah dan Sarawak, MASwings diminta menambah bilangan pesawat sedia ada bagi memastikan isu pembatalan penerbangan tidak lagi timbul.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata langkah menambah bilangan pesawat sedia ada perlu bagi memperbaiki lagi perkhidmatan MASwings di kedua-dua negeri ini.

Saya difahamkan apabila ada satu pesawat mengalami kerosakan sukar untuk diganti dengan pesawat lain kerana MASwings hanya mempunyai 10 pesawat untuk beroperasi di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditanya mengenai penambahbaikan yang perlu dilakukan MASwings.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tanda Negaraku (Negaraku Livery) pada pesawat MASwings, di sini pada Selasa.

Beliau berkata walau sepanjang MASwings beroperasi ini terdapat beberapa perkara boleh ditambah baik, namun secara keseluruhannya Kerajaan Negeri berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Mengenai pelancaran itu, Masidi berkata langkah meletakkan lambang Jalur Gemilang itu adalah sebagai tanda memperingati sambutan Hari Kebangsaan serta cerminan kecintaan rakyat Malaysia terhadap negara.

Diharap melalui pelancaran ini ia akan memberi motivasi kepada rakyat di Sabah dan Sarawak supaya dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman menyarankan MASwings supaya meletakkan operasi mereka pada tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.

Memandangkan MASwings sudah beroperasi selama sedekad, saya percaya MASwings melihat keperluan untuk meletakkan operasi mereka ke tahap seterusnya.

MASWings perlu menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih baik. Namun saya percaya dengan kekuatan pasukan pengurusan MASwings, kita akan melihat syarikat penerbangan ini berada jauh ke hadapan,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Masidi.

Musa berkata pelancaran pesawat yang dilengkapi dengan lambang ‘Negaraku’ itu akan membantu menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASwings Aminuddin Zakaria berkata usaha meletakkan tanda Negaraku pada pesawat MASwings itu adalah kesinambungan komitmen syarikat terhadap program Ekspresi Negaraku pada Mei lalu.

Inisiatif yang diilhamkan Perdana Menteri bagi menyemai semangat patriotisme di seluruh negara itu diteruskan pada kali ini dengan meletakkan lambang Jalur Gemilang pada salah sebuah pesawat MASwings.

Kami di MASwings juga akan terus berusaha menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku bagi membantu kami untuk lebih maju ke hadapan termasuklah dalam aspek keselamatan dan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif ATR Asia Jean Pierre Clercin menyampaikan Anugerah ‘ATR Fleet Leader’ kerana penggunaan tertinggi harian dalam kalangan 200 ATR yang beroperasi seluruh dunia.

Advertisement