Anda di sini

MAQIS sangkal laporan ribuan lembu, kerbau diseludup ke Kelantan

Advertisement

PASIR MAS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kelmarin menyangkal laporan akhbar yang mendakwa antara 15,000 hingga 20,000 ekor lembu dan kerbau diseludup masuk ke Kelantan sejak Januari hingga pertengahan bulan ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mokhtaruddin Husain berkata pihaknya hanya merampas sebanyak 41 ekor lembu dan kerbau sahaja sepanjang tempoh tersebut.

Mokhtaruddin berkata jumlah yangn disebut berkenaan sebenarnya merujuk kepada jumlah ternakan yang diimport secara sah dengan kelulusan agensi itu sejak 2013 hingga tahun ini.

Angka yang tepat adalah sebanyak 22,764 ekor ternakan lembu dan kerbau yang diimport secara sah ke Malaysia melalui pintu masuk Rantau Panjang sepanjang 2013 hingga tahun ini. Mengenai laporan pihak berkuasa merampas lebih 60,000 lembu dan kerbau yang diseludup pula, ia merujuk kepada 58,790 ternakan yang diimport secara sah dengan mendapat kelulusan daripada MAQIS,” katanya di Stesen Kuarantin Haiwan, Rantau Panjang di sini, semalam.

Isnin lalu, sebuah akhbar melaporkan antara 15,000 hingga 20,000 lembu dan kerbau dipercayai diseludup masuk dari negara jiran sejak awal tahun ini sekali gus mencetuskan kebimbangan akan potensi jangkitan pelbagai penyakit terhadap ternakan tempatan dan orang ramai.

Ternakan berkenaan dipercayai diseludup masuk menerusi ‘lorong tikus’ yang banyak di sepanjang Sungai Golok yang menjadi laluan sindiket penyeludupan, sebelum pihak berkuasa meningkatkan kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan serta menutup 129 pangkalan haram pada Julai lalu. — Bernama

Advertisement